PETALING JAYA, 17 Jan -- Sebanyak 90 koperasi berdaftar telah membuat permohonan pelaburan benilai RM1.434 bilion kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Seksyen 54(2) Akta Koperasi 1993 sehingga 31 Dis, 2022.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata daripada jumlah itu, 35 permohonan bernilai RM260,618 juta diluluskan oleh SKM.
“Aktiviti pelaburan yang telah dibuat oleh pihak koperasi antaranya ialah Subsidiari, Unit Trust, Saham Bursa, Joint Venture dan lain-lain,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek pembinaan 20 Pusat Pengumpulan Sisa Kelapa Sawit, di sini, hari ini.
Noh berkata 620 buah koperasi telah menjalankan aktiviti pelaburan saham siar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM14.31 bilion.
Sementara itu Noh turut menyarankan pemimpin koperasi di negara ini agar meneroka model perniagaan koperasi baharu berdasarkan senario semasa bagi memastikan perolehan koperasi terus meningkat.
“Elemen kreativiti dan keupayaan untuk mengolah model perniagaan yang baharu perlu digerakkan semaksimum mungkin,” katanya.
Pada majlis berkenaan Noh menyaksikan permeteraian MoU antara Nextgreen Global Berhad, Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation, Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dan Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad.
MoU berkenaan adalah bagi pembekalan sisa kelapa sawit daripada 20 buah pusat pengumpulan berkenaan ke kilang Green Technology Park (GTP), Pekan, Pahang untuk penghasilan kertas, tisu, makanan haiwan ternakan dan baja.
Selain itu pada majlis tersebut Noh turut melancarkan aplikasi MyAngkasaku, usaha sama antara Angkasa dan Nextgreen Global Berhad yang akan memberi manfaat kepada hampir tiga juta ahli Angkasa di seluruh negara dengan penawaran pembelian barangan sekolah secara dalam talian menerusi kredit yang disediakan oleh Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial