JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) dengan mengenal pasti 83 projek pelaburan menerusi lapan industri keutamaan yang dijangka menjana pelaburan bernilai RM167.4 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata industri yang meliputi kesihatan dan farmaseutikal, logistik, aeroangkasa, pelancongan, pertanian, tenaga, elektrik dan elektronik serta kimia dan petrokimia akan melonjakkan lagi ekonomi Johor kepada tahap lebih tinggi.
Katanya tumpuan kepada industri itu akan memperkukuh naratif pelaburan negeri, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur terhadap sokongan kerajaan yang konsisten.
Menurutnya, JETP berupaya mempercepat realisasi pelaburan ke negeri itu menerusi pelaksanaan 32 inisiatif intervensi strategik, antaranya dikenal pasti berdasarkan cabaran dan peluang utama yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan sektor swasta dan agensi sektor awam berkaitan.
“Kesemua inisiatif berkenaan telah melalui proses penapisan dan keutamaan bagi memastikan negeri memberi tumpuan kepada intervensi paling kritikal.
“Inisiatif ini seterusnya dinilai berdasarkan impak ekonomi dan tahap kemudahan pelaksanaannya,” katanya ketika membentangkan JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor Datuk Seri Hasni Mohammad serta Presiden dan Pengerusi Pemandu Associates Datuk Seri Idris Jala.
Lee berkata JETP diperkenalkan bagi memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan menyokong pertumbuhan industri sedia ada serta pada masa depan.
Katanya JETP dibangunkan bagi memperkukuh teras kedua Maju Johor 2030, iaitu pembangunan ekonomi, dengan menumpukan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada sumber antarabangsa dan domestik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui insentif dan infrastruktur serta persekitaran yang mesra perniagaan.
“Pelan ini juga berupaya memperkasakan tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang sejajar dengan keperluan industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.
Lee berkata sebanyak tiga sasaran utama turut ditetapkan menerusi pelan berkenaan dalam memastikan kerajaan negeri mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM260 bilion, dengan jangkaan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.
“Melalui pemerkasaan dan pemacuan sektor bernilai tinggi, KDNK per kapita Johor djangka meningkat melebihi RM69,000 menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.5 peratus, sekali gus melepasi ambang negeri berpendapatan tinggi mengikut penanda aras Bank Dunia,” katanya.
Katanya menerusi JETP, setiap daerah akan memainkan peranan strategik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang, sekali gus melengkapkan dan memperkasakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui pembangunan ekosistem sektor tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial