AM

Saham Azam Baki : Pembangkang minta Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas diteruskan

20/01/2022 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri daripada pembangkang, mahu mesyuarat membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki diteruskan, meskipun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membuat keputusan berhubung perkara itu.

William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) berkata pihaknya merayu Pengerusi Jawatankuasa itu Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) untuk mengadakan mesyuarat berkenaan secepat mungkin, kerana ia merupakan isu berkepentingan awam.

“Sekarang (mesyuarat) ditangguhkan, kita sedang menunggu nasihat daripada penasihat undang-undang Parlimen dan kita merayu kepada Pengerusi untuk mengadakan mesyuarat dengan secepat mungkin kerana ini adalah isu kepentingan awam,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) berkata jawatankuasa berkenaan perlu bermesyuarat untuk meneliti keseluruhan kes itu, termasuk mengenai jumlah pemilikan saham oleh seorang penjawat awam.

Mesyuarat berkenaan yang dijadual berlangsung semalam, ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu, daripada pejabat penasihat undang-undang Parlimen.

Semalam, SC telah membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), berhubung akaun dagangan Azam.

Dalam satu kenyataan, SC menjelaskan bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan, beliau ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan