KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Siasatan terperinci Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati bahawa gambar yang memaparkan nasi dan kuah itu di media sosial, bukanlah makanan disediakan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
“Saya telah menerima maklum balas bagi perkongsian mengenai gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid di bawah Program RMT. Wakil KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.
“Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah. Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Beliau berkata KPM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara berkenaan, dan sentiasa berusaha menambah baik program RMT termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima.
Katanya pada masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah baik daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan, mulai tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial