AM

Kelantan tingkatkan capaian internet di 200 lokasi menerusi PeSAT - Ahmad

30/01/2022 05:20 PM

PASIR PUTEH, 30 Jan -- Kerajaan Kelantan telah mengenal pasti 200 lokasi di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih tidak memiliki capaian Internet, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan capaian Internet di kesemua lokasi yang telah dikenal pasti itu melibatkan kerjasama antara Kelantan Gate dengan syarikat BinaNet.

“Maka untuk membantu rakyat kita di luar bandar, melalui BinaNet ini insya-Allah dapat kami menyalurkan atau memberi kemudahan Internet kepada rakyat di negeri ini dalam pelbagai perkara khususnya untuk pendidikan serta aktiviti ekonomi melalui dalam talian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji, Selising, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pemancar telekomunikasi akan ditempatkan di 50 sekolah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"Ia penting berikutan pelajar di sekolah itu memerlukan capaian Internet bagi melancarkan sesi pembelajaran mereka.

"Bayaran tersebut akan ditentukan oleh pihak penyediaan perkhidmatan dalam bentuk harian dan bulanan. Kelantan ICT Gateway bertindak sebagai penyedia kepada kemudahan infrastruktur sahaja,” katanya.

Beliau berkata selain itu tumpuan capaian Internet akan turut diberikan kepada 18 lokasi perkampungan Orang Asli di Gua Musang menerusi sokongan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya kemudahan ini selari dengan pelan hala tuju infomasi teknologi maklumat (ICT) Kelantan yang dilancarkan pada 2019 hingga 2025.

"Pelan ini akan menyokong pelaksanaan rancangan strategik Kelantan melangkah ke hadapan dan pelan induk pembangunan mampan negeri Kelantan dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan