BALIK PULAU, 3 Mac -- Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Pulau Pinang dan Singapura dijangka bermula pertengahan Mac ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.
Beliau berkata pihak berkuasa secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan program VTL Pulau Pinang dan Singapura itu dan ketika ini segala persiapan untuk pelaksanaannya termasuk persediaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah dijalankan dengan rapi.
"Pada masa ini secara prinsipnya kami difahamkan VTL udara antara Pulau Pinang dan Singapura akan dijalankan pada pertengahan Mac ini malah saya juga dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah memberi lampu hijau untuk program VTL itu.
"Segala persiapan giat dijalankan termasuk persiapan rapi di LTAPP bagi menerima penerbangan menerusi program itu (VTL)," katanya ketika ditemui di taman tema air, Escape Penang, di sini hari ini.
Terdahulu, Yeoh melancarkan Pepsi Escape Challenge di gelongsor air terpanjang di dunia itu sebagai satu daripada tarikan terbaharu di taman tema air berkenaan. Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group Sim Choo Kheng.
Pada Isnin, Yeoh yang melawat LTAPP dilaporkan berkata Malaysia Airports Sdn Bhd telah melaksanakan perancangan rapi yang diperlukan di lapangan terbang itu untuk memastikan penerbangan menerusi program VTL udara antara Pulau Pinang dan Singapura berjalan lancar.
Perancangan ini termasuk menetapkan jambatan dan laluan khusus untuk penumpang turun dan LTAPP juga telah menyediakan Makmal Perubatan untuk tujuan pelaksanaan ujian saringan.
Pada Disember tahun lalu, Malaysia Aviation Group (MAG) menyatakan hasrat agar program VTL udara antara Singapura dan Pulau Pinang dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mempercepat proses pemulihan ekonomi republik itu dan negeri ini.
VTL antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini bermula pada 29 Nov tahun lalu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial