KUANTAN, 16 Mac -- Azamnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan agar dapat menjimatkan wang gajinya bagi membantu keluarga, tercapai apabila graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) M. Ashviny menerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Ashviny, 25, yang kini bertugas sebagai jurutera berkata tekadnya itu juga didorong oleh faktor mahu membalas jasa bapanya, seorang pemandu lori dan ibunya yang merupakan pekerja am di syarikat swasta selain mahu empat adiknya menjadikan dirinya selaku anak sulung sebagai ikutan.
"Saya diberitahu jika mendapat keputusan cemerlang, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu dibayar...itu yang mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya lebih banyak wang gaji boleh digunakan bagi membantu keluarga," katanya.
Graduan jurusan Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) itu berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada sidang media memperkenalkan penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen ke-15 universiti tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Berkat kesungguhan dan sikap tidak berputus asa, anak jati Klang, Selangor itu berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.
Bagi Twong Weng Fung, 23, yang menerima Anugerah Emas Universiti UMP atas kecemerlangannya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum, menyifatkan pembahagian masa yang baik menjadi 'resipi' kejayaannya sepanjang bergelar penuntut.
"Saya merupakan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2018 dan 2019 dan pernah menganjurkan sebanyak 88 program dalam setahun tetapi berjaya mendapat Anugerah Dekan bagi setiap sesi akademik.
"Semuanya tidak mustahil untuk dilakukan jika kita merancang aktiviti pembelajaran dan ko-kurikulum sebulan lebih awal dan berpegang kepada rancangan. Kalendar Google amat penting kepada saya dalam membuat perancangan dengan teliti," katanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mengambil Diploma Kejuruteraan Kimia dan Loji Proses berkata pengorbanan terutama waktu tidur amat diperlukan dalam memastikan segala program yang diamanahkan ke atasnya berjalan lancar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP Prof Dr Mohd Rosli Hainin berkata seramai 3,556 graduan akan menerima sijil dan diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula esok, di dewan tersebut.
Daripada jumlah itu, 234 orang merupakan graduan doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda serta diploma manakala 958 orang lagi adalah graduan UMP Advance dengan penyampaian sijil disempurnakan oleh Pro Canselor UMP Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed dan Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial