SUKAN

Liga Super: Jaringan Tunggal Gabriel Lonjak The Cats Ke Tangga Kedua

15/03/2026 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kuching City FC merampas kedudukan kedua Liga Super 2025/2026 selepas merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Penyerang Gabriel Nistelrooy Tamin muncul wira The Cats apabila jaringan tunggalnya sudah cukup buat pelawat membawa pulang tiga mata berharga dan mengumpul 40 mata untuk melonjak dua anak tangga selepas 19 perlawanan setakat ini.

Keputusan tersebut menyaksikan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak mengatasi Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang berkongsi 38 mata, selepas masing-masing menghuni tempat ketiga dan keempat, manakala Penang FC pula kekal di kedudukan kesembilan dengan 19 mata.

Tuan rumah menampilkan aksi positif pada keseluruhan babak pertama, namun serangan tumpul termasuk percubaan penyerang berpengalaman dari Ivory Coast, Kipre Tchetche yang melambung tinggi pada minit ke-32 menafikan mereka daripada menembusi gawang pelawat.

Kegagalan ketua pasukan Penang FC Stefano Brundo untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya dengan cepat, pantas dihidu Gabriel untuk menolak masuk gol pembukaan pelawat, lima minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, Kuching City FC berjaya menyerap tekanan Harimau Kumbang dengan percubaan terbaik tuan rumah sekali lagi hadir menerusi Kipre pada minit ke-80, namun sepakannya tepat ke dakapan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Imigresen FC bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan tuan rumah Sabah FC 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tonggak serangan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin muncul wira Imigresen FC apabila menyambut hantaran lintang pemain gantian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam sebelum kuisannya tepat menewaskan penjaga gol Sabah Damien Chien Khai Lim pada minit ke-83 untuk mengesahkan kemenangan keenam mereka musim ini.

Sabah bermula garang apabila hantaran S. Kumaahran menemui penyerang Darren Lok yang tenang menolak masuk gol pembukaan pada minit ke-29, namun penyerang pelawat dari Colombia Wilmar Jordan Gil menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-74.

Imigresen FC berdepan situasi cemas buat seketika di penghujung perlawanan apabila penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin gagal menangkap kemas sepakan percuma Dean Pelekanos pada minit ke-89.

Jaringan penyamaan tersebut dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati penyerang tuan rumah Azhad Harraz Arman berada dalam kedudukan offside dan menghalang pandangan Muhammad Zarif sebaik sahaja Pelekanos melepaskan sepakan percumanya.

Imigresen FC kini berada di kedudukan ketujuh dengan 21 mata manakala Sabah pula kekal di tangga ke-10 selepas mengutip 15 mata.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan