BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
EKONOMI

MTDC wujudkan 'Center Of 9 Pillars' bantu syarikat tempatan Sabah adaptasi teknologi IR 4.0

21/03/2022 06:15 PM

KOTA KINABALU, 21 Mac -- Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) bercadang untuk mewujudkan 'Center of 9 Pillars' (Co9P) di Sabah bagi membantu syarikat tempatan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata usaha untuk mewujudkan hab Co9P di kawasan Kota Kinabalu itu diharap dapat dilaksanakan pada akhir suku kedua tahun ini secara hibrid, dan bakal menjadi rangkaian kepada Co9P di negeri lain seperti di Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor.

“Kita mahu membangunkan suatu rangkaian yang membolehkan semua Co9P bekerjasama dan apabila ada Co9P di sini (Kota Kinabalu), usahawan di Sabah boleh bekerjasama sama ada secara dalam talian atau jika perlu boleh datang ke Co9P yang lain bergantung kepada teknologi yang mereka perlukan.

“Untuk mewujudkan Co9P tidak memerlukan bangunan dan kawasan yang besar, yang penting kita memerlukan usahawan yang berminat bekerjasama...itu yang paling penting kerana ia akan dijalankan oleh syarikat itu sendiri berdasarkan modal mereka sendiri,” katanya kepada pemberita sempena Program Road2Growth di sini hari ini.

Program Road2Growth bermula hari ini sehingga September depan akan dijalankan di enam buah bandaraya di seluruh negara dan program seterusnya akan diadakan di Kuching, Sarawak iaitu dengan memberi penekanan kepada industri 4.0 dan pendigitalan termasuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana meneroka pembangunan teknologi perniagaan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.

Norhalim berkata pada masa ini, MTDC bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berharap kerjasama itu akan dapat diteruskan untuk mewujudkan Co9P di universiti berkenaan selain mempunyai kerjasama dengan Politeknik Kota Kinabalu serta beberapa kumpulan teknologi di negeri itu.

Dalam pada itu, Norhalim berkata penglibatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam IR 4.0 masih jauh dan MTDC berperanan untuk memperkenalkan teknologi yang mampu melonjakkan pendapatan mereka namun pada masa sama membantu dari pelbagai sudut perniagaan.

“Oleh sebab itu dalam program hari ini ada kelas mengenai modal perniagaan yang memberi tip supaya teknologi yang digunapakai itu mempunyai pulangan perniagaan kepada syarikat,” katanya yang turut memperkenalkan sebuah syarikat yang kini berjaya menjalin kerjasama dengan negara Jepun iaitu Syarikat Akar Indah Engineering Sdn Bhd yang merupakan ahli syarikat ekosistem MTDC.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Syarikat  Akar Indah Engineering Sdn Bhd Nurul Hidayah Rahmat berkata syarikat itu telah menjalin kerjasama dengan kepakaran di Jepun beberapa tahun lalu untuk berkongsi kemahiran dan teknologi daripada negara matahari terbit itu.

Selain itu, syarikat berkenaan turut mempunyai rakan strategik dengan syarikat-syarikat lain untuk membangunkan teknologi bagi membantu usahawan IKS dengan melatih usahawan-usawahan tempatan mengunapakai teknologi IR 4.0 dan kini memfokuskan untuk memperkenalkan teknologi 'retrofitting machine'  (mesin pengubahsuai) kepada IKS di Sabah.

Katanya melalui teknologi itu, mesin-mesin yang sedia ada akan diubahsuai dan diperbaiki mengikut ciri-ciri IR 4.0 yang lebih canggih termasuk monitor melalui telefon pintar mahupun komputer.

“Ini membantu usahawan IKS mengoptimumkan perniagaan masing-masing namun pada sama masih menggunakan sumber manusia tetapi menggunakan teknologi untuk mencapai pendapatan yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan