AM

NADI Kini Jadi Contoh, Rujukan Negara Luar - Fahmi

27/06/2026 10:14 PM

BATU PAHAT, 27 Jun (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negara ini kini menjadi rujukan dan contoh kepada beberapa negara luar, yang berminat untuk mengadaptasi model pusat transformasi digital berkenaan, susulan kejayaannya memperkasakan komuniti melalui pelbagai program kemahiran dan keusahawanan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata NADI di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu telah melalui transformasi besar daripada sekadar sebagai kafe siber luar bandar kepada hab pembangunan digital komuniti.

Beliau berkata NADI kini menawarkan pelbagai modul yang memberi manfaat kepada masyarakat, termasuk saringan kesihatan, latihan kemahiran seperti membaiki telefon bimbit dan fotografi, selain program keusahawanan yang membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

“Perkembangan ini menyebabkan badan antarabangsa, International Telecommunication Union (ITU), mengiktiraf MCMC dan NADI sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital.

“Ini satu pengiktirafan yang besar, dan pada masa yang sama banyak negara lain sedang melihat serta cuba mencontohi model NADI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran AI for Community@NADI serta Pusat NADI Kampung Parit Kemang, di sini hari ini.

Jurucakap kerajaan itu juga berkata antara negara yang menunjukkan minat terhadap model berkenaan ialah Timor-Leste, yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi membolehkan pendekatan NADI dilaksanakan di negara itu.

“Apabila kita menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, mereka melihat beberapa perkara yang ingin dipelajari daripada Malaysia, antaranya model NADI dan melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani, kita akan membawa model ini untuk dilaksanakan di Timor-Leste,” katanya.

Fahmi berkata pencapaian NADI itu turut didorong oleh kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang disediakan di beberapa pusat berkenaan, malah ada antaranya menawarkan kelajuan sehingga 1 Gbps, sekali gus membolehkan pelbagai program transformasi digital dilaksanakan secara lebih berkesan.

Mengenai Program AI for Community@NADI, beliau ketika berucap berkata ia bertujuan memperluas literasi kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat pada peringkat akar umbi, selain memberikan pendedahan mengenai penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab. 

Sehubungan dengan itu, beliau mengulangi sasaran kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang individu yang mahir dalam prompt engineering (kejuruteraan prom) pada setiap NADI di seluruh negara menerusi program berkenaan.

“Bila faham dan fasih tentang prompt engineering, mereka mempunyai kemampuan membina aplikasi yang boleh membantu komuniti termasuk mencari pasaran dan pelanggan bagi produk tempatan,” katanya.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS) bertujuan memastikan masyarakat, khususnya pada peringkat akar umbi mendapat pendedahan kepada kemahiran AI selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Ia menyasarkan 5,010 peserta untuk terlibat meliputi 167 NADI di 10 negeri termasuk 17 lokasi di Johor, bagi memperluas akses kepada kemahiran AI secara inklusif .

Para peserta didedahkan kepada asas dan aplikasi AI, termasuk kejuruteraan prom, penggunaan untuk perniagaan mikro, peningkatan produktiviti serta amalan AI secara bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan