AM

ADUN Kempas dilantik sebagai Setiausaha Politik MB Johor

27/03/2022 01:49 PM

JOHOR BAHRU, 27 Mac (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Ramlee Bohani dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkuat kuasa hari ini.

Ramlee mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Onn Hafiz di Pejabat Menteri Besar Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

"Syukur alhamdulillah. Tahniah YB (Yang Berhormat) Dato’ Ramlee Bohani yang juga merupakan ADUN Kempas. Beliau baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor, sebentar tadi.

"Selamat menjalankan tugas YB Dato’. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor," kata Onn Hafiz menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, Ramlee daripada Barisan Nasional (BN), memenangi pertandingan tujuh penjuru menewaskan Napsiah Khamis @ Maharan daripada PKR, Nornekman Osman (Parti Pejuang Tanah Air), Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A. Rahman dan Mohd Hambali Munadi dengan majoriti 3,514 undi.

Pada 16 Mac lepas, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Semalam, 10 ADUN mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene.

Pelantikan barisan Exco kerajaan negeri yang baharu adalah susulan kemenangan BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga ketika PRN Johor pada 12 Mac lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan