AM

MINDEF komited pastikan proses perolehan aset dibuat secara telus

23/04/2022 02:51 AM

SUNGAI PETANI, 22 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk memperkemas aset angkatan laut negara akan melalui proses yang telus tanpa berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perolehan aset untuk pertahanan negara itu mesti dirancang dengan pendekatan di luar kotak kerana isu pertahanan serta keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi dengan wang ringgit, selain unsur politik dan pemikiran sempit.

"...jadi saya dan kepimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan buat apa yang patut untuk memastikan tanggungjawab yang kita pikul, amanah yang telah pun diletakkan di atas bahu kita, akan kita tunaikan dengan sedaya-upaya kita mampu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama warga tentera darat di Kem Lapangan Terbang Tentera Darat di sini hari ini.

Rabu lepas, Kabinet yang bermesyuarat pada hari itu dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

Untuk rekod, LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM bagi memperkemas aset angkatan laut negara dan kesemua enam kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis iaitu Naval Group yang dahulunya dikenali sebagai DCNS.

Sementara itu, Hishammuddin berkata dasar perindustrian pertahanan sedang digubal pada masa ini selain Rang Undang-Undang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk dipinda, bagi membantu pencarum serta membela nasib golongan veteran ATM.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedia membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjejaki lebih 90 orang tahanan Rohingya yang masih belum ditemukan selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Tahanan Sungai Bakap pada Rabu lepas, sekiranya diminta berbuat demikian.

"Kita belum ada permintaan (bantuan) daripada mana-mana agensi lain tetapi saya tahu bahawa pihak KDN cukup berkemampuan untuk berhadapan isu itu...apa saja diperlukan kalau kita boleh bantu, sebut sajalah untuk kebaikan bersama. Setakat ini saya yakin KDN masih mampu tangani," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan