AM

Persiapan giat dilakukan untuk menyambut Hari Wesak esok

14/05/2022 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wesak esok amat dinanti-nantikan oleh penganut agama Buddha di negara ini selepas dua tahun tidak meraikannya dengan meriah susulan pandemik COVID-19. 

Penganut agama Buddha di Melaka, Selangor dan Johor selain ibu kota, masing-masing sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut perayaan penuh bermakna itu.

Presiden Sasana Abhiwurdhi Wardhana dari Maha Vihara Buddha di Brickfields di sini iaitu Sirisena Perera berkata kuil itu hari ini meyediakan kaunter lampu minyak, air suci dan tali suci untuk diedarkan kepada penganut mulai petang ini bagi memulakan persiapan mereka untuk sambutan esok. 

“Kita membuka kawasan kuil untuk membolehkan orang ramai datang dan melaksanakan kewajipan agama mereka.

“Bagaimanapun, kami menasihati mereka agar meluangkan masa yang minimum mungkin dalam setengah jam supaya orang lain juga boleh datang. Kami harap ia tidak terlalu sesak sehingga menyebabkan keadaan sukar dikawal,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Jawatankuasa Maha Vihara Buddha Harold Jayasinghe, 65, berkata kuil itu tidak akan mengambil bahagian dalam perarakan chariot esok memandangkan negara masih dalam fasa awal endemik bagi memastikan keselamatan penganut. 

Di MELAKA, sambutan Hari Wesak akan dimeriahkan dengan perarakan kereta berhias tanpa pengiring pejalan kaki seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Wesak Persatuan Buddha Melaka Seck Kia Eenh 2022 Baba Cedric Tan berkata dua kereta berhias yang membawa sami dan patung Buddha akan berarak mengelilingi bandar Melaka.

"Walaupun tanpa pengiring pejalan kaki kerana tidak mahu berlaku kesesakan susulan negara baru pulih daripada pandemik, kami ambil inisiatif untuk memanjangkan laluan kereta berhias ini kepada sejauh 26 kilometer (km) berbanding 6km sebelum ini, dan mengelilingi bandar Melaka pada malam ini,” katanya ketika dihubungi.

Di SELANGOR, Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) Datuk Teng Chang Khim berkata dianggarkan seramai 5,000 penganut serta pengunjung dijangka meraikan perayaan itu dengan pelbagai aktiviti bermula 10 pagi tadi hingga 3.40 petang esok.

“Antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah upacara mandi Buddha secara fizikal, bazar kebudayaan makanan vegetarian, forum menghayati seni Gandhara, konsert Hari Wesak dan majlis doa untuk kebaikan bayi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shaari menghadiri Sambutan Hari Wesak 2022 peringkat Negeri Selangor yang diadakan selama dua hari bermula hari ini di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jenjarom, Kuala Langat.

Di JOHOR, Pengerusi Metta Lodge Pusat Buddhist Johor Lim Tuan Cheat berkata seramai 15 sukarelawan melakukan persiapan Hari Wesak di pusat keagamaan Buddha di Johor Jaya, Johor Bahru.

Beliau berkata penganut Buddha dijangka memenuhi kuil seawal 7.30 pagi esok dan pelbagai aktiviti telah disusun termasuk bersedekah nasi kepada sami, berdikir dan berkhutbah sebelum upacara memandikan bayi.

“Kita mengharapkan majlis yang akan berakhir pada 12.30 tengah hari itu berjalan dengan baik dan pastinya penganut agama Buddha tidak sabar menyambut perayaan ini kerana sudah dua tahun kita tidak dapat meraikannya bersama-sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan