AM

Dr Afifi undur diri daripada Gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan

15/05/2022 11:11 AM

IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima permohonan Datuk Dr Afifi Al-Akiti untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar Delapan Perak.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Seri Ayop Hashim berkata Dr Afifi telah mengutus warkah hari ini, memohon perkenan Sultan Nazrin untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan warkah beliau telah diangkat sembah untuk pertimbangan baginda.

"Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan berkenan menerima permohonan itu untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei (hari ini)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi warkah yang dilampirkan bersama kenyataan itu, Dr Afifi antara lain menyatakan warkah berkenaan diutuskan susulan penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial bertujuan mencemarkan namanya baru-baru ini.

"Saya memilih tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat.

"Bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranan saya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranan saya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

"Menginsafi perkara ini jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan," menurut Dr Afifi.

Dr Afifi berkata keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak supaya tidak dicacatkan serta bagi mengelakkan institusi istana daripada dicemari.

Baru-baru ini tular klip video yang memaparkan seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama dan penasihat Sultan, sedang berhibur di sebuah kelab malam.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan