EKONOMI

Malaysia, Thailand setuju tubuh jawatankuasa khas bersama bincang HSR Bangkok-KL

17/05/2022 11:11 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 17 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara terperinci mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Bangkok-Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand.

Terdahulu, beliau yang berada di sini atas jemputan kerajaan Singapura, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Saksayam Chidchob.

“Susulan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand pada Februari 2022, kami seperti mana yang diamanahkan oleh kedua-dua Perdana Menteri, buat kali pertama memulakan perbincangan tentang cadangan projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) dari Bangkok ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Selasa.

Pada 26 Feb lepas, Malaysia dan Thailand dilaporkan telah bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan jajaran HSR di antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.

Ismail Sabri berkata persetujuan tersebut adalah hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha di Rumah Kerajaan di Bangkok semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu.

Dalam catatan yang sama, Wee turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Saksayam atas kerjasama Thailand dalam melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara kedua-dua negara pada pertengahan Mac 2022 walaupun untuk tempoh singkat sebelum sempadan Malaysia dibuka semula mulai 1 April, 2022.

“Malaysia dan Thailand akan terus berkerjasama untuk memulihkan sektor penerbangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan