JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Sabah tahan pegawai kanan jabatan kerajaan terima rasuah RM700,000

18/05/2022 02:42 PM

KOTA KINABALU, 18 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit.

Menurut sumber kedua-dua suspek dipercayai meminta rasuah sebagai balasan untuk melindungi kegiatan pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Tindakan kedua-dua suspek telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri Sabah dan mereka ditahan pada jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah, kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dijangka permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok. 

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat berhubung kes tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan