EKONOMI

Celcom akan penuhi tarikh akhir proses rundingan 5G dengan DNB

26/05/2022 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Celcom Axiata Bhd akan cuba memenuhi tarikh akhir proses perundingan dengan Digital Nasional Bhd (DNB) mengenai perjanjian perkhidmatan untuk pelaksanaan rangkaian 5G negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd Datuk Izzadin Idris berkata syarikat itu diberikan tempoh sehingga 30 Jun depan bagi memuktamadkan proses tersebut.

"Kami berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi proses tarikh akhir (rundingan)," katanya dalam satu sidang akhbar bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) firma itu hari ini.

Menurut laporan media, Celcom Axiata, Digi Telecommunications, Maxis Bhd dan U Mobile berhasrat untuk memiliki kepentingan majoriti dalam agensi 5G negeri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata rundingan antara syarikat telekomunikasi (telco) dan DNB sedang dijalankan, yang mana, syarikat-syarikat terbabit sedang dalam proses merundingkan harga atau nilai ekuiti yang ditawarkan.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan mengesahkan bahawa para pemegang saham telah meluluskan cadangan pengambilalihan kepentingan sebanyak 66.03 peratus dalam PT Link Net Tbk (LinkNet) Indonesia.

Semasa AGM hari ini, beliau berkata majoriti pemegang saham bersetuju dengan cadangan pengambilalihan yang berharga 8.72 trilion rupiah (RM2.55 bilion) itu.

"Majoriti 57.83 peratus mengundi sebagai tanda setuju manakala 42.17 peratus menentang," katanya.

Sementara itu, Izzadin berkata pembelian Linknet akan membolehkan Axiata mengukuhkan kedudukan pasarannya, memantapkan lagi langkah strategik syarikat itu ke pasaran jalur lebar tetap yang belum ditembusi sepenuhnya dan memacu pengembangannya di Indonesia.

Pada sidang akhbar yang sama, Axiata telah melancarkan Pelan Tindakan Iklim Bersih Sifar, dengan tujuan untuk mencapai pelepasan bersih-sifar tidak lewat daripada 2050, dengan sasaran jangka pendek pada 2030 bagi mengurangkan pelepasan karbon operasi sebanyak 45 peratus.

"Berpandukan pelan tindakan ini, Axiata akan memulakan strategi tiga serampang untuk mempercepatkan usaha nyahkarbon dalam operasi rangkaiannya, mempercepat transformasi rantaian nilai dan menyampaikan agenda iklim yang inklusif," kata Izzadin.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan