KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- IHH Healthcare Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM493.26 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 daripada RM375.62 juta pada tempoh sama tahun lepas, didorong oleh peningkatan bilangan pesakit selain penyusutan kos kewangan.
Perolehan hasilnya menokok enam peratus kepada RM4.16 bilion tahun ke tahun dengan pertumbuhan dalam pasaran utama susulan pemulihan pendapatan pesakit domestik, sumbangan perkhidmatan berkaitan COVID-19 dan peningkatan operasi yang berterusan di Hospital Gleneagles Hong Kong.
Peningkatan itu turut didorong oleh pengambilalihan DDRC SRL Diagnostics Private Ltd pada April 2021 dan Hospital Acibadem Bel Medic pada Julai 2021, kata IHH dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun peningkatan itu sebahagiannya diimbangi oleh impak penjualan Continental Hospitals Private Ltd pada Disember 2021, penutupan sementara klinik di China pada Mac 2022 akibat lonjakan kes COVID-19 di Shanghai serta kesan kelemahan mata wang lira ke atas pendapatan kumpulan operasi di Turki.
Selain itu, pendapatan asas sesaham IHH menokok 5.36 sen berbanding 4.04 sen.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Dr Kelvin Loh berkata kumpulan itu mencatat pemulihan kukuh dalam perniagaan bukan COVID-19 apabila pesakit domestik dan asing mulai kembali selepas sempadan dibuka semula dan sekatan ditarik balik secara berperingkat.
“Bagi jangka pendek, kami berkemungkinan berdepan beberapa cabaran susulan penyusutan pendapatan berkaitan COVID-19 selain akibat tekanan inflasi di peringkat global.
“Namun, kami kekal kekal yakin bahawa trajektori pertumbuhan jangka panjang kami kekal kukuh," katanya.
IHH juga berhasrat untuk menumpukan teras strategiknya -- Amanah, Sinergi dan Pertumbuhan yang berpandukan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus bagi memacu prestasi operasi dan kewangannya pada 2022.
Menurut kenyataan itu, kumpulan tersebut akan turut memanfaatkan sinergi daripada rangkaian antarabangsanya bagi mencapai aspek penjimatan kos, memperoleh aset strategik untuk memacu pertumbuhan yang cekap modal melalui strategi kluster dan membina platform berbeza seperti perniagaan berkaitan makmal.
“Kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif transformasi digital dan memperuntukkan kira-kira RM400 juta bagi tujuan pelaburan dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha memacu inovasi dan penyampaian keupayaan penjagaan kesihatan secara digital,” katanya.
IHH juga kini dalam proses menilai implikasi pelaporan kewangannya.
Sewaktu dagangan ditutup hari ini, saham IHH meningkat 0.93 peratus kepada RM6.49 dengan 3.04 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial