EKONOMI

Syarikat Induk Ajinomoto Malaysia Cadang Penstrukturan Semula Pada Harga RM20 Sesaham 

22/06/2026 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Syarikat induk Ajinomoto (Malaysia) Bhd (AMB), Ajinomoto Co., Inc. (Ajico) mencadangkan penstrukturan semula pengeluar perasa makanan itu melalui langkah pengurangan modal dan pembayaran balik secara terpilih (SCR) pada harga RM20 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menurut AMB, lembaga pengarahnya telah menerima surat daripada Ajico hari ini yang memaklumkan mengenai cadangan itu.

Langkah itu melibatkan pembayaran balik modal berjumlah RM603.4 juta atau RM20 sesaham kepada pemegang saham yang layak iaitu semua pemegang saham selain Ajico -- yang secara kolektif memegang 30.17 juta saham AMB atau 49.62 peratus daripada jumlah saham terbitan AMB.

Ajico melalui surat kepada lembaga pengarah AMB, turut mencadangkan terbitan bonus sebanyak 571.1 juta saham AMB dengan menggunakan RM571.1 juta daripada perolehan tertahan syarikat, yang akan meningkatkan modal saham terbitan AMB kepada paras mencukupi untuk melaksanakan cadangan SCR.

Ajico tidak akan mengambil saham bonus itu.

Selepas cadangan terbitan bonus itu, AMB akan melaksanakan langkah pengurangan modal saham terbitan AMB sebanyak RM603.4 juta, dengan keseluruhan 30.17 juta saham AMB yang dipegang oleh pemegang saham yang layak dan saham bonus 571.1 juta akan dibatalkan.

Ajico memaklumkan untuk terus memegang baki saham AMB yang tidak dibatalkan sekali gus menjadikan AMB sebagai anak syarikat milik penuhnya.

Ajico juga tidak bercadang untuk mengekalkan status penyenaraian AMB di Pasaran Utama dan akan meminta AMB mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities untuk menyahsenaraikan AMB serta menarik balik status penyenaraiannya.

Menurut Ajico, syarikat itu menerima manfaat yang minimum daripada status penyenaraian itu berikutan AMB tidak menjalankan sebarang aktiviti pengumpulan dana ekuiti daripada pasaran modal selama lebih 10 tahun.

"Selain itu, AMB terus menanggung kos dan memperuntukkan masa dan sumber pengurusan untuk mengekalkan status penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Securities," menurutnya.

Menurut Ajico cadangan SCR itu akan memberikan lebih fleksibiliti kepada AMB untuk mencapai objektif perniagaannya dan meningkatkan kecekapan operasi, antaranya melalui penyelarasan dan pemudahan struktur korporat syarikat tanpa perlu memperuntukkan masa dan sumber pengurusan bagi memenuhi keperluan pematuhan peraturan.

Syarikat itu memaklumkan mudah tunai dagangan saham AMB adalah rendah sejak sekian lama, dan cadangan SCR itu membuka peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pegangan mereka pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Dagangan saham pengeluar perasa makanan itu telah digantung hari ini atas permintaan syarikat.

Pengumuman itu dibuat selepas harga saham AMB melonjak lebih 26 peratus sejak 8 April dan mencapai paras tertinggi harian RM15.60 pada 10 Jun, iaitu paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Saham itu kali terakhir didagangkan pada harga RM15.20 pada Jumaat, yang meletakkan nilai syarikat pada sekitar RM924.1 juta.

Dagangan saham akan disambung semula esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan