AM

HAWANA 2022 DISAMBUT DI BANDAR RAYA BERSEJARAH

29/05/2022 09:36 AM

MELAKA, 28 Mei (Bernama) -- Setelah dua tahun menjadi wira tidak didendang dalam memerangi pandemik COVID-19 dan mengharungi pelbagai peristiwa serta perkembangan yang mengubah landskap negara, golongan pengamal media khususnya wartawan berkumpul di Melaka, esok, bagi meraikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022.

Pelbagai program diadakan bagi memperingati dan menghargai profesion kewartawanan di Malaysia itu yang turut dihadiri wakil wartawan dari Indonesia dan Vietnam, dengan acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hotel Hatten, Bandar Hilir di sini.

Bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’, acara kemuncak sambutan HAWANA 2022 dijangka dihadiri kira-kira 700 pengamal media, antaranya Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya, ketua-ketua pengarang agensi media serta wartawan muda negara.  

Kemuncak sambutan itu adalah penyerahan Deklarasi Melaka 2022 kepada Perdana Menteri selain penyampaian Anugerah HAWANA 2022 yang bertujuan mengiktiraf jasa dan sumbangan diberikan dalam memperkasa dan membangunkan negara, industri serta profesion kewartawanan.  

Bersempena sambutan itu, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia  Indonesia (ISWAMI) Malaysia mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, Direktor Utama Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional (Antara), Ketua Pengarang - TVOne & VivaNews, DetikCom, Kompas TV, Kompas, The Jakarta Post dan Metro TV.

Sambutan HAWANA 2022 dimulakan dengan dua sesi Forum Media Nasional bertemakan ‘Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang’.

Dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain, program itu disusuli wacana bertajuk ‘Memahami Perubahan Landskap Media dan Kewartawanan Model Baharu: Cabaran Kelestarian’.

Tiga ahli panel dijemput bagi membicarakan perkara berkenaan iaitu Pengarah Editorial Free Malaysia Today Jasbant Singh Partap Singh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com Premesh Chandran dan Pengarang Kumpulan Media Mulia Azlan Jaafar.

Wacana kedua bertajuk ‘Kewartawanan 2030: Mengintai Landskap Masa Depan Media’ pula membariskan tiga panelis iaitu Johan, Ketua Editor Daily Express Zulhayati Dzulkifli dan Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Majlis kali ini juga menyaksikan penghormatan kepada wartawan profesional/individu/organisasi menerusi Anugerah HAWANA 2022 untuk penerima yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi juga dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya yang dihasilkan.

Penerima Anugerah HAWANA 2022 akan menerima trofi, wang tunai dan sijil penghargaan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia. 

Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan