JENAYAH & MAHKAMAH

Dua wanita direman empat hari bantu siasatan kes dera

28/05/2022 04:50 PM

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Dua wanita yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes dera membabitkan dua kanak-kanak semalam direman selama empat hari sehingga 31 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dua wanita masing-masing berusia 28 dan 52 tahun itu bekerja sebagai pembantu restoran di premis perniagaan yang berbeza di daerah ini.

"Dua beradik iaitu kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dan adik lelakinya berusia tiga tahun tinggal bersama ibu (kandung) dan nenek saudara mereka selepas wanita itu (ibu mereka) bercerai dengan suaminya (ayah dua beradik berkenaan).

"Kami masih menjalankan siasatan sejak bila dua beradik itu disyaki didera oleh dua wanita tersebut dan ketika ini dua kanak-kanak tersebut masih menerima rawatan serta pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang (HPP),"  katanya  ketika dihubungi hari ini.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua wanita yang direman itu disiasat menurut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Semalam, polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan dua kanak-kanak yang disyaki didera  dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di kawasan di Air Itam, di sini susulan beberapa gambar tular membabitkan mangsa sejak Khamis.

Terdahulu satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki di Balai Polis Air Itam, di sini berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook  oleh orang awam tentang  gambar dua  kanak-kanak sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka.

Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa kepada penderaan dan bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ)  Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut telah membuat  serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah pangsa di kawasan Air Itam pada 11.15 pagi semalam.

Dalam serbuan itu pihak polis telah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima  tahun dan adik lelakinya berusia tiga tahun serta menahan dua suspek iaitu merupakan ibu dan nenek saudara mangsa bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua kanak-kanak itu telah menemui kesan luka dan lebam di bahagian muka dan badan disyaki akibat penderaan sebelum dihantar ke HPP untuk rawaran serta pemeriksaan lanjut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan