KEPALA BATAS, 29 Mei (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pihak pemaju perlu membuat sesi libat urus dengan penduduk untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi cadangan pembinaan pembangunan penginapan pekerja berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ) di Bertam di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rata-rata penduduk menjadi resah apabila berdepan dengan prospek kebanjiran pekerja warga asing di kawasan tersebut.
“Pada pendapat saya, pembangunan CLQ di Bertam tidak sesuai kerana ia akan menyebabkan berlaku kebanjiran pekerja asing yang tentu akan meninggalkan kesan amat mendalam kepada masyarakat sekeliling.
“Oleh itu, pihak pemaju dan MBSP perlu mengadakan sesi libat urus secara telus dengan penduduk kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Penaga anjuran UMNO Kepala Batas di sini hari ini.
Walaupun tidak bersetuju dengan pembangunan CLQ berkenaan, Reezal berkata ia tidak bermaksud beliau menolak sebarang bentuk pembangunan perindustrian di kawasan tersebut tetapi ia mesti berteraskan teknologi tinggi dan melibatkan pekerja-pekerja berkemahiran tinggi sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada pekerja kurang mahir.
Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata beliau mengalu-alukan kehadiran industri berteknologi tinggi di kawasan terbabit.
“Pada waktu sama kita kena pastikan keresahan rakyat juga dirawat. Mungkin pihak terlibat boleh mencari alternatif di kawasan perindustrian sedia ada bagi pembinaan CLQ di sana,” katanya.
Sementara itu, hampir 100 orang penduduk Bertam dari lebih 10 taman perumahan berhampiran projek tersebut mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembangunan CLQ di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor, tidak jauh dari situ.
Wakil Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam Mohd Fahmi Abdul Rejab berkata kawasan projek itu dikelilingi oleh taman perumahan iaitu hampir 7,800 unit rumah dan ia pasti memberi pelbagai kesan kepada penduduk antaranya masalah sosial dan kesihatan berbanding di Ara Kuda yang tidak padat dengan penduduk.
"Kami penduduk di sini tidak menentang pembangunan Kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi Kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Bertam di Parlimen Kepala Batas.
"Kami juga sedia maklum dengan status Bandar Bertam sendiri sebagai kawasan pembangunan tier 1 yang mana kawasan ini akan menerima pembangunan pesat tidak kira dari segi pendidikan, universiti dan pembangunan industri dengan izin, namun penduduk di sini menentang asrama penempatan tersebut (CLQ)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan aman itu di Taman Mekar Sari iaitu berhampiran projek kuarters tersebut.
Difahamkan, projek pembangunan itu yang dalam proses mendapatkan kebenaran merancang mempunyai dua pakej, dengan pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat manakala pakej kedua melibatkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial