AM

OUM rancang kerjasama dengan MFH, wujud dana khas kewangan untuk pelajar

11/06/2022 05:45 PM

MELAKA, 11 Jun (Bernama) -- Open University Malaysia (OUM) merancang mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi Melaka Finance House Berhad (MFH), bagi mewujudkan satu dana khas untuk memudahkan anak kelahiran Melaka menyambung pelajaran di universiti tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR Sdn Bhd Muhammad Afiq Redzuan berkata ia secara tidak langsung, akan membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi terutamanya pascapandemik COVID-19.

“Sebagai syarikat pegangan bagi OUM, kita dapati di Melaka banyak orang yang berkualiti tapi sebab pandemik, pekerja berkemahiran tinggi ini semakin berkurangan. Jadi penting untuk kita tolong anak Melaka belajar kemahiran baharu atau peningkatan skil mereka di OUM.

“Jadi kita harapkan kerjasama melalui syarikat kewangan milik kerajaan negeri Melaka ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran syarikat tersebut bagi pusat pembelajaran OUM Zon Selatan di sini hari ini.

Sementara itu Naib Canselor OUM Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang berkata OUM kini giat memasarkan program pendidikannya ke luar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di OUM.

“Antaranya adalah mengadakan kerjasama pintar dengan institusi pengajian yang terkemuka di luar negara. Setakat ini kita sudah tandatangani perjanjian kerjasama dengan dengan 10 negara iaitu Vietnam, Sri Lanka, Maldives, Ghana, Bahrain, Yemen, Hungary, Bangladesh, India dan Mauritius,” katanya.

Tambah beliau OUM menyasarkan 1,000 pelajar antarabangsa melalui kerjasama dari 10 negara tersebut, manakala 11,500 pelajar tempatan sepanjang tempoh pengajian tahun ini.

“Kita akui jumlah pelajar ada sedikit menurun kerana pandemik, namun insya-Allah dalam tempoh terdekat ini, jumlah tersebut akan bertambah malah kita juga dalam proses untuk kembangkan lagi kerjasama dengan negara lain.

“Ini kerana modul dan sistem pendidikan yang digunakan OUM adalah sangat fleksibel, yang mana ia menjadi tarikan bagi golongan dewasa dan bekerja kerana mereka boleh boleh mengikuti pengajian tanpa mengira tempat dan masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan