AM

Pemilik Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Skyawani 3 teruja miliki rumah sendiri

18/06/2022 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Memiliki kediaman sendiri merupakan saat dinanti-nantikan oleh pembeli Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3, Setapak di sini yang sekian lama menyewa dan menumpang rumah keluarga. 

Ahmad Hassanal Bulkiah Baharudin, 38, berkata sejak hidup berkeluarga pada 2002, dia menumpang rumah ibunya di Flat Sri Melaka, Cheras kerana belum mampu memiliki kediaman sendiri. 

“Sejak berkahwin, memang niat saya untuk membeli hartanah yang lebih selesa pada harga berpatutan di Kuala Lumpur kerana sudah lebih 30 tahun saya menetap di Cheras.

“Jadi apabila ada peluang memiliki rumah pertama dengan fasiliti yang baik seperti ini, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan saya amat berpuas hati,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Kediaman kepada 200 pemilik unit residensi itu hari ini.

R. Soundrarajan, 42, turut berkongsi keterujaan itu dengan isterinya, D.Amutha, 42, selepas penantian empat tahun untuk kediaman itu siap berakhir. 

Selain berpuas hati dengan kualiti hartanah tersebut yang disifatkan berbaloi pada harga mampu milik, anak jati Kuala Lumpur itu turut lega apabila pihak pemaju mengambil inisiatif memudahkan pemilik melalui tawaran pakej mengubah suai rumah bermula pada harga serendah RM4,000.

"Apa yang ditawarkan ketika proses pembelian seperti kemudahan kolam renang dan gimnasium semuanya ditepati, " katanya. 

Saifunnazri Md Salleh, 45, pula merancang menetap bersama keluarga di rumah baharu itu  kerana lokasi strategik yang berdekatan dengan tempat kerja. 

"Sebelum ini, saya dan keluarga menetap di Cheras selama 13 tahun tetapi kami akan berpindah ke sini kerana persekitaran rumah baharu lebih selesa," katanya.

Dibangunkan oleh SkyWorld Development Group, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 menawarkan 1,905 unit kediaman dengan setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu parkir berbumbung pada harga RM300,000 seunit. 

SkyAwani 3 turut menawarkan pelbagai kemudahan untuk penduduk seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang bola keranjang, dewan serbaguna dan kawasan permainan kanak-kanak. 

 Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis penyerahan kunci kediaman kepada pemilik. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan