Daripada Zalina Maizan Ngah
MAKKAH, 23 Jun (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penawaran visa furada dengan pakej yang boleh mencecah lebih RM50,000 namun tiada sebarang jaminan visa haji diluluskan kepada pemohon.
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sehingga kini Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji 1443H/2022M dan mereka yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati.
Beliau berkata TH seringkali mengingatkan risiko haji furada apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menetapkan pelbagai syarat oleh kerajaan Arab Saudi.
Arab Saudi juga mengehadkan hanya sejuta umat Islam menunaikan ibadah haji iaitu 85 peratus melibatkan jemaah di luar Arab Saudi dan 15 peratus lagi khusus untuk mereka yang tinggal di negara itu, namun perlu mendapatkan permit serta melanggan pakej yang telah disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Arab Saudi menawarkan dua pakej kepada rakyat tempatan untuk menunaikan ibadah haji, pakej ini dalam lingkungan harga RM11,000 hingga RM14,000. Saya harap kita memahami suasana ini dan juga kerajaan Arab Saudi telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.
“Senario ini berlaku di peringkat antarabangsa dan di Malaysia kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan oleh TH dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.
Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Akta TH iaitu kesalahan kerana mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.
“Kita dapati telah ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan tersebut, jadi berhati-hatilah,” katanya yang turut menyarankan rakyat Malaysia boleh memilih 20 syarikat agensi pelancongan atau yang dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.
Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej antara harga RM35,000 ke atas dan ia merupakan kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.
Sementara itu, tinjauan Bernama menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungajwab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.
Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.
Pihak itu yang dihubungi menerusi WhatsApp juga memaklumkan menyasarkan 80 orang dengan pakej RM38,000 hingga RM56,000 serta meminta bayaran pendahuluan RM15,000 pada kadar segera kononnya untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.
Meskipun meminta deposit, wakil syarikat itu menegaskan bahawa peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan.
Justeru orang ramai yang telah membuat bayaran visa furada sebaiknya melakukan pemeriksaan lanjut dan sepertimana yang dikatakan Syed Saleh, bimbang bayaran yang dibuat akan hangus begitu sahaja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial