AM

Program JTDLKM @ SAM kurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah

09/07/2022 10:45 AM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) @ Selangor Agro Market (SAM) yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dilihat dapat mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah selain memberi peluang kepada pengguna membeli barangan keperluan dengan harga lebih rendah.

FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Program JTDLKM @ SAM itu juga dapat memberi peluang kepada pengguna menikmati nilai penjimatan antara lima dan 10 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi produk-produk terpilih. 

“Antara produk yang ditawarkan adalah buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, ikan, telur, makanan dan minuman yang melibatkan 14 penyertaan terdiri daripada agensi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), usahawan Pasar Tani dan usahawan bimbingan FAMA,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh merasmikan Program JTDLKM @ SAM yang diadakan di perkarangan Pejabat FAMA Daerah Kuala Selangor yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Operasi) Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Selangor Aiada Abdul Rashid.

Program tersebut yang berlandaskan tiga paksi utama dalam jaminan bekalan makanan iaitu meningkatkan keboledapatan, ketersediaan dan mampu milik itu dilihat dapat memberi ruang kepada usahawan bagi mengamalkan konsep jualan terus kepada pengguna selain memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang munasabah dan berpatutan.

Mohd Fasiah berkata program tersebut bertujuan memperlihatkan peranan FAMA dalam membantu kerajaan melaksanakan program demi faedah rakyat dengan konsep projek yang 'menang cepat' (impak tinggi, kos rendah) dan membuktikan program yang berskala kecil juga mampu membawa impak yang besar kepada pengguna.

Untuk rekod di Selangor, program JTDLKM telah dilaksanakan sebanyak 35 kali dengan melibatkan seramai 152 usahawan dan jualan terkumpul sebanyak RM370,886 bersamaan 39 tan metrik.

Dalam pada itu, FAMA turut mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal diadakan dari 4 hingga 14 Ogos 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan