JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pembaca berita stesen TV dilaporkan hilang masih tidak dijumpai

19/07/2022 12:04 AM

SHAH ALAM, 18 Julai (Bernama) -- Bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33 berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas. 

Zalina Shaharah, 58 dilaporkan hilang  ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. 

“Pada 29 Nov 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya. 

Katanya pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.

“Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

Beliau berkata segala usaha mencari telah dilakukan namun gagal menemui wanita itu.

Katanya polis membuat hebahan kepada orang awam untuk membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus. 

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-55194622 jika mempunyai maklumat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan