EKONOMI

Skim khas bantu usahawan dalam talian akan diwujudkan - Noh

03/08/2022 05:19 PM

SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mewujudkan skim khas untuk membantu golongan usahawan dalam talian merancakkan dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata skim khas itu yang akan dicadangkan kepada kerajaan dalam belanjawan akan datang, turut membantu terutamanya generasi muda yang lebih cenderung kepada perniagaan secara dalam talian.

“Berdasarkan rekod (data) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh antara 1 Mac dan 31 Oktober, 2020, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan di bawah SSM bagi kategori perniagaan dalam talian.

"Perniagaan dalam talian ini amat luar biasa dan fleksibel sehingga boleh berniaga dari rumah. Jadi, KUSKOP telah meminta semua agensinya menyediakan satu skim khas bagi membantu usahawan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di sini hari ini.

Noh berkata rancangan skim khas itu akan memperuntukkan jumlah maksimum mengikut agensi masing-masing yang terdapat di bawah kementeriannya.

“Keutamaan akan diberikan kepada lebih 2,000 peserta yang telah mengikuti kursus tersebut (Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil) untuk menjadi kumpulan pertama yang menerima skim itu di bawah agensinya,” katanya.

Program 10 siri yang diadakan di seluruh negara itu berjaya mengumpulkan seramai 2,836 penjaja dan peniaga dengan Selangor dipilih sebagai lokasi terakhir penganjuran.

Sementara itu, beliau berkata untuk menjadikan platform digital kementeriannya, MyMall sebagai penyedia e-dagang terkemuka yang mampu bersaing dengan platform sedia ada, empat platform e-dagang iaitu ODELA oleh SME Bank, Pybli oleh Pernas, Angsana Virtual Mall oleh UDA Holdings dan WarongKu telah digabungkan dan diletakkan di bawah MyMall.

Menurutnya, kementerian menyedari bahawa bersaing dengan platform e-dagang sedia ada bukan sesuatu yang mudah.

"Bagaimanapun, sambutan ketika ini amat menggalakkan dan akan berusaha menguar-uarkan kepada peniaga dalam talian untuk menyertai platform berkenaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan