AM

MINDEF perlu bentang perancangan perolehan ketenteraan - PAC

04/08/2022 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata perkara itu adalah antara syor penambahbaikan susulan laporan PAC mengenai perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Wong berkata pentadbiran kontrak kerajaan harus diperkemaskan untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi mengelakkan peningkatan kos projek.

Selain itu, PAC mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap semua penemuan PAC, Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan Laporan Pengauditan Forensik dengan pendakwaan harus disegerakan. 

“Insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada (jenis) SIGMA kepada (jenis) GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi perolehan pada masa hadapan.

“Perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan end user  iaitu TLDM dalam kes ini, dan secara amnya bagi segala projek dan perolehan pada masa hadapan selari dengan Kertas Putih Pertahanan 2020-2030,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Syor lain yang dikemukakan PAC adalah supaya MINDEF melihat semula kesemua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik projek LCS bagi memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.

Selain itu, MINDEF perlu membentangkan laporan kemajuan LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan.

Wong berkata PAC mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac lepas dengan memanggil beberapa saksi termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz, Pengerusi JKSTUPKK Tan Sri Ambrin Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Katanya hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan, dan menurut jadual asal sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. 

“Penilaian wajar yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

“Hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu,” katanya. 

Selain itu, PAC merumuskan TLDM selaku pengguna akhir (end user) tidak diendahkan oleh MINDEF dan syarikat BNS dalam pelaksanaan projek LCS, yang pada asalnya reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui Menteri Pertahanan. 

Katanya keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan