KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pertama Digital Bhd mendapat undian majoriti daripada pemegang sahamnya untuk melupuskan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam anak syarikat tekstilnya yang berpangkalan di China, BeTop, kepada Gifted Investments Ltd (GIL) dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM70 juta.
Menurut Pertama Digital, sebanyak 99 peratus undian diterima untuk menyokong penjualan aset tersebut pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) secara maya, yang dihadiri oleh pemegang saham dan wakil mereka serta ahli Lembaga Pengarah hari ini.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Tun Zaki Tun Azmi berkata melalui pelupusan itu, Pertama Digital akan turut diklasifikasikan semula daripada syarikat berasaskan tekstil kepada perniagaan digital dan patuh Syariah.
“Penyelesaian digital yang ditawarkan setakat ini telah diterima dengan sangat baik dan menunjukkan prospek pertumbuhan yang cerah. Kami membangunkan dan mengendalikan eJamin, penyelesaian pembayaran ikat jamin mahkamah melalui telefon pintar pertama di dunia, yang kini digunakan di mahkamah Malaysia.
“Kami juga secara eksklusif mengendalikan mySMS 15888, perkhidmatan pesanan sedia ada yang digunakan oleh agensi kerajaan. Selain itu, kami juga memiliki aplikasi pembayaran mudah alih MyPay,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas EGM itu.
Sementara itu, Pengarah Strategi Saify Akhtar berkata dengan pelupusan perniagaan legasi kumpulan ini, Pertama Digital kini bebas untuk melaksanakan strategi inovatifnya dengan lebih cekap untuk mengubah cara agensi kerajaan dan perusahaan mendekati pendigitalan dalam sektor yang berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia, tetapi dalam pasaran baru muncul lain seperti Indonesia, Bangladesh dan Nigeria.
“Tambahan pula, sebagai syarikat Malaysia, pemegang kepentingan dan kepimpinan kami kini akan mempunyai majoriti tempatan. Syarikat ini akan terus menyampaikan penyelesaian dan perkhidmatan digital yang pantas untuk prestasi dalam perkongsian rapat dengan kerajaan dan perniagaan,” katanya.
Pertama Digital berkata pelupusan BeTop setakat ini berkembang sehingga peringkat 2, yang telah siap pada 16 Julai 2021.
“Pada 21 Sept 2020, bayaran tunai pertama sebanyak RM12 juta telah diterima daripada GIL, diikuti oleh pembayaran tunai kedua sebanyak RM18.515 juta pada 16 Julai 2021.
“Pada masa ini, Pertama Digital memiliki pegangan sebanyak 52 peratus dalam BeTop, berdasarkan perjanjian peringkat 2,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial