AM

P Pinang Dapatkan Laporan JAS Berkaitan Projek Tapak Pelupusan Sampah, Tambakan Laut

09/06/2026 06:29 PM

GEORGE TOWN, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan laporan dan pandangan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong dan projek tambakan laut di Karpal Singh Drive, di sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan JAS semalam dan hasil perbincangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, esok.

"Kita telah bertemu dengan JAS untuk memahami tentang pertimbangan permohonan EIA bagi projek tapak pengurusan, maksudnya proses ini masih berjalan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Penang Career Discovery Day X Penang HR Foward Forum 2026, di sini hari ini.

Chow berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan akhbar sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang mempersoalkan sama ada pemaju terlibat dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) Tapak Pelupusan Sampah Jelutong menerima kelonggaran luar biasa.

NGO berkenaan turut mendakwa projek itu berpotensi memberi kesan besar terhadap alam sekitar serta komuniti setempat dan turut menggesa kerajaan negeri berpegang kepada jaminan terdahulu bahawa tiada lagi lanjutan masa diberikan bagi projek berkenaan.

Sebelum ini, JAS dilaporkan menolak laporan EIA projek tersebut, sekali gus menghentikan pelaksanaannya.

Chow berkata kerajaan negeri juga masih belum membuat keputusan sama ada akan meluluskan lanjutan baharu bagi projek pemulihan tapak pelupusan sampah dan penambakan laut Jelutong bernilai RM1 bilion itu malah proses penilaian terhadap permohonan EIA bagi projek tersebut masih berjalan serta belum dimuktamadkan.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum pelbagai dakwaan serta kebimbangan yang dibangkitkan NGO namun sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap semua maklumat yang ada.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata peningkatan rizab tunai Kerajaan Negeri Pulau Pinang hingga melebihi RM600 juta bukan berpunca daripada kenaikan cukai tanah yang mula dilaksanakan tahun ini, sebaliknya disumbangkan oleh lebihan hasil direkodkan pada 2025.

Menurut Chow, peningkatan rizab itu berlaku sebelum pelaksanaan kadar baharu cukai tanah yang berkuat kuasa 1 Jan 2026 dan angka rizab terkini yang diumumkan kerajaan negeri menunjukkan peningkatan berbanding kedudukan pada akhir tahun lepas.

''Angka pada 31 Dis 2025 adalah RM500 juta lebih, kenaikan itu disebabkan hasil daripada surplus yang besar pada 2025 dan ini tidak berkaitan dengan kenaikan cukai. Bila naik cukai? Pada 1 Jan 2026, surplus itu tidak berkaitan dengan kenaikan cukai tanah,'' katanya.

Chow berkata demikian ketika mengulas kritikan mengenai peningkatan hasil negeri dicapai menerusi pelaksanaan cukai, tarif dan caj tambahan yang membebankan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan