AM

Kibar Jalur Gemilang, bendera Pahang bagi jayakan Bulan Kebangsaan - Wan Rosdy

15/08/2022 12:20 AM

TEMERLOH, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyeru penduduk negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri bagi menjayakan Bulan Kebangsaan. 

Beliau berkata bendera tersebut sepatutnya dikibarkan dengan penuh rasa bangga di semua premis termasuk kediaman, perniagaan, institusi pendidikan serta pejabat kerana ia dapat membangkitkan semangat patriotik dalam diri. 

"Seharusnya Jalur Gemilang dan bendera negeri ini bukan hanya dikibarkan pada bulan Ogos tetapi amalan ini seharusnya dilakukan sepanjang masa. Amalan ini seharusnya 'trending' dan dibudayakan supaya kita tidak lupa asal usul," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat Pahang di Semantan Walk di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. 

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini supaya kekal bersatu padu memastikan perpaduan kaum berterusan dengan mengelak daripada terlibat dengan apa sahaja perkara yang boleh menyebabkan persengketaan kaum yang hanya merugikan negeri dan negara.

"Hormati setiap insan dengan sikap saling menghormati yang akan menjadikan kehidupan kita lebih aman tanpa sebarang persengketaan dan permusuhan yang akhirnya akan merugikan keharmonian yang telah dibina selama ini," katanya.

Beliau berkata kestabilan politik dan negeri juga penting supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar, selain menarik kehadiran pelabur yang membawa pendapatan kepada kerajaan negeri yang akhirnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan serta pemberian bantuan kepada mereka yang layak. 

Wan Rosdy juga mengingatkan kepentingan untuk terus 'mengingatkan' golongan muda tentang perjuangan pahlawan dahulu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah menentang penjajah supaya generasi muda tidak lupa akan pengorbanan generasi sebelum ini. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan