AM

Selangor bawa usul Enakmen Warta Khazanah Sejarah

17/08/2022 03:48 PM

KLANG, 17 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan membawa usul Enakmen Pewartaan Khazanah Bersejarah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dijangka berlangsung pada November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan serta Warisan negeri Borhan Aman Shah berkata langkah itu akan membolehkan kerajaan Selangor mewartakan sendiri khazanah bersejarah yang terdapat di negeri itu.

"(Sekarang ini) kita perlu memohon kepada Jabatan Warisan Negara, kemudian minta izin dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, baru boleh (untuk diwartakan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Jejak Warisan Bandar Raya Diraja Klang Siri Dua di sini hari ini.

Bengkel anjuran Majlis Perbandaran Klang itu diadakan sebagai langkah memelihara dan memulihara khazanah bersejarah di daerah tersebut yang disertai seramai 50 peserta, terdiri daripada kakitangan agensi awam dan swasta.

Borhan berkata setakat ini di daerah Klang, Gedung Raja Abdullah telah diwartakan sebagai khazanah bersejarah negeri manakala Jambatan Kota dan Perpustakaan Awam (Perpustakaan Daerah Klang) sedang dalam proses permohonan. 

Katanya, Gedung Raja Abdullah yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri yang pertama, sedang menjalani proses baik pulih dan akan dibuka kepada pengunjung mulai Disember ini atau awal tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan