AM

Agong berkenan melawat FNSS Defence Systems A.S di Turkiye

17/08/2022 06:24 PM

Daripada Kurniawati Kamarudin

ANKARA (Turkiye), 17 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat sebuah daripada syarikat pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems A.S, di sini.

Keberangkatan Seri Paduka disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye Halusi Akar dan Ketua Eksekutif FNSS Gurol Carmikli. 

Al-Sultan Abdullah kemudian diberi persembahan taklimat dan pertunjukan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan oleh syarikat FNSS.

Semasa lawatan itu juga, baginda berkenan menaiki dua kenderaan perisai milik FNSS.

FNSS merupakan syarikat yang bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) milik syarikat tempatan membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan di Pekan, Pahang. 

Kenderaan berperisai Adnan, yang digunakan oleh Kor Amor Diraja Tentera Darat sejak 20 tahun lepas, diambil sempena nama seorang askar Melayu, Leftenan Adnan Saidi yang terlibat dalam pertempuran di Singapura semasa Perang Dunia II. 

Malaysia sebelum ini telah memesan dan menerima sebanyak 267 unit ACV-300 dalam pelbagai versi.

Al-Sultan Abdullah turut menikmati santapan tengah hari bersama Menteri Pertahanan Turkiye dan barisan pengurusan tertinggi FNSS.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan