KUANTAN, 22 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, menggalakkan syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya meningkatkan pengetahuan serta mengaplikasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dalam perniagaan mereka.
Pengarah Bahagian Teknologi Teroka MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata inisiatif itu perlu dilaksana agar mereka tidak ketinggalan dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam menyediakan perkhidmatan atau produk.
Beliau berkata MTDC telah menyediakan pelbagai platform untuk golongan terbabit antaranya dengan menganjurkan program Road2Growth yang memfokus kepada peluang pembangunan teknologi dan perniagaan melalui kerjasama syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.
Menerusi program itu, peserta akan diperkenal kepada ‘Centre Of 9 Pillars' (Co9P) serta ahli komunitinya dalam sesi IR 4.0 dengan mendapat informasi terperinci termasuk mengenai solusi teknologi tempatan dalam bidang robotik, automasi, pencetakan 3D dan teknologi dron.
"Program ini dilaksanakan untuk mempromosi dan menambah pengetahuan mengenai IR 4.0 kerana kita melihat ia merupakan teknologi baharu yang akan membangunkan kebanyakan syarikat di Malaysia untuk menambah produktiviti.
"Bila peserta hadir ke program ini, mereka secara langsung mendapat penerangan daripada syarikat ekosistem MTDC dan melihat bagaimana teknologi itu dapat diaplikasi," katanya pada sidang media Program Road2Growth MTDC di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada graduan, penyelidik, PKMS dan syarikat pemula.
Mohammad Hazani juga berkata Pahang merupakan lokasi kelima penganjuran program tahunan itu selepas Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dengan acara kemuncaknya bakal berlangsung di ibu negara pada 26 Sept.
Beliau berkata program itu juga dapat memberi bimbingan kepada usahawan dan graduan meneroka peluang perniagaan dalam IR 4.0 serta melahirkan golongan tenaga mahir di bidang teknologi serta digital.
Menerusi program itu juga, graduan yang hadir Masterclass Pemasaran akan didedahkan dengan teknik dan taktik pemasaran strategik selain sesi Masterclass Modal Teroka yang memberikan informasi mengenai dana dan pelaburan yang ditawarkan oleh MTDC.
Selain itu, Akademi Latihan Teknoprenur (TENTRA) menjalankan program latihan, pensijilan profesional dan kelayakan yang berasaskan IR 4.0.
Orang ramai yang berminat boleh menyertai program Road2Growth secara percuma dengan mendaftar menerusi laman sesawang www.mtdc.com.my/r2g2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial