KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Orang ramai kembali membanjiri lokasi tumpuan bagi menunggu detik 12 tengah malam, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Ambang Merdeka di seluruh negara tahun ini.
Bertunjangkan semangat patriotisme, jelas terpancar keterujaan masyarakat berbilang bangsa untuk tidak melepaskan peluang meraikan hari penuh bermakna buat negara dan diri setiap individu bergelar warganegara Malaysia.
Di KUALA LUMPUR, ribuan rakyat pelbagai lapisan usia dan kaum membanjiri lokasi tumpuan di sekitar ibu negara termasuk di Taman Botani dan KLCC untuk meraikan sambutan Ambang Merdeka.
Menjangkakan kesesakan luar biasa dan himpunan ribuan warga kota, tinjauan Bernama di KLCC mendapati polis trafik Kuala Lumpur bersiap sedia dengan kawalan lalu lintas selain memantau keselamatan keadaan sekitar terutamanya di kawasan tumpuan di KLCC.
Di PERLIS, hujan lebat tidak mematahkan semangat kira-kira 20,000 rakyat negeri itu untuk terus meraikan Ambang Merdeka di Stadium Tuanku Syed Putra dengan melibatkan persembahan koir 300 penjawat awam dan perarakan kontinjen, selain lafaz ikrar, ucapan Menteri Besar,Datuk Seri Azlan Man dan titah pelancaran oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bersama rakyat negeri itu. Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.
Kemuncak acara adalah laungan merdeka dan persembahan bunga api tepat pada jam 12 tengah malam.
Di PERAK, sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak 2022 di Dataran Bandaraya Ipoh bermula jam 8 malam dengan kira-kira 10,000 hadirin terdiri daripada pelbagai masyarakat. Sambutan dimulakan dengan persembahan tarian, sketsa dan nyanyian oleh selebriti popular iaitu Amira Othman dan Hael Husaini serta deklamasi puisi.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan exco kerajaan negeri pada acara kemuncak sambutan yang diadakan dengan pengiraan detik Ambang Merdeka dan laungan merdeka berserta pertunjukan bunga api.
Di PAHANG, sebanyak 65 terjunan base daripada 18 penerjun dari dalam dan luar negara memeriahkan malam Ambang Merdeka di Menara Kuantan 188, Kuantan, yang dilaksanakan sebagai simbolik ulang tahun Hari Kebangsaan 2022.
Kesemua penerjun secara bergilir-gilir melakukan terjunan dari ketinggian 104 meter dari pelantar terbuka menara itu dan lebih menarik, terjunan ke-65 disempurnakan oleh penerjun tertua di Malaysia Jamaluddin Ismail, 67.
Selain aksi ekstrem berkenaan, turut diadakan ‘face painting’ oleh pelajar Kolej Komuniti Kuantan dan perarakan oleh ahli Kelab Basikal Klasik Kuantan di sekitar menara kedua tertinggi di Malaysia itu.
Di SELANGOR, sambutan peringkat negeri itu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dimulakan dengan selawat dan munajat bersama Habib Ali Zaenal Abidin pada jam 4.45 petang.
Bermula jam 8.30 malam, sambutan turut dimeriahkan dengan perarakan dan perbarisan 59 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, swasta, pancaragam sekolah serta persembahan khas anggota beruniform, antaranya kawad senyap dan tempur tanpa senjata.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyerahkan kunci Rumah Idaman kepada 26 pemain pasukan bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 serta veteran tentera, Mustafa Jantan dan bekas polis, Bahari Ismail, yang dinobatkan Tokoh Kemerdekaan Selangor yang julung kali diperkenalkan.
Sambutan diakhiri dengan pertunjukkan bunga api, diiringi lagu patriotik dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Menteri Besar..
Di KELANTAN, hujan renyai tidak menghalang lebih 1,000 orang memeriahkan sambutan Program Merdeka@Parlimen Ketereh dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Tegayong, Melor, di Kota Bharu.
Antara pengisian program sambutan itu adalah persembahan dikir barat, pidato dan deklamasi puisi merdeka.
Di TERENGGANU, sambutan malam Ambang Merdeka di Kuala Terengganu dimulakan dengan forum agama bertajuk 'Merdeka Jiwa, Sejahtera Ummah' yang menampilkan bekas Mufti Negeri Terengganu, Datuk Zulkifly Muda dan personaliti dakwah, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, sebagai ahli panel.
Program yang turut dihadiri beberapa anggota exco kerajaan negeri di Dataran Muara Utara KTCC di sini, diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan nasyid, artis-artis tempatan dan kumpulan kesenian Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta deklamasi sajak oleh penggiat seni sastera.
Sebelum 'countdown', berlangsung perarakan membawa Jalur Gemilang oleh pasukan Askar Wataniah ke pentas utama, manakala upacara menaikkan bendera disempurnakan oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kemuncak program ialah pertunjukan bunga api yang memenuhi ruang angkasa dataran berkenaan.
Deretan trak yang menjual pelbagai jenis makanan turut memeriahkan kawasan sambutan itu dan lebih 10,000 pengunjung yang hadir berpeluang menikmati juadah mereka sambil menyaksikan acara-acara pada malam ini.
Di KEDAH, sambutan peringkat negeri yang bermula pada 5 petang tadi disambut dengan meriah walaupun dalam keadaan hujan sejak 7.30 malam di Dataran Pekan Rabu, Alor Setar, melibatkan bacaan sajak oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Pasukan Askar Wataniah 513 juga membuat persembahan gerak tempur tanpa senjata dan gelung berapi.
Turut diadakan pada sambutan itu ialah gimik pelancaran, detik kiraan menjelang jam 12 tengah malam dan laungan merdeka sebelum pengunjung menyaksikan persembahan bunga api, selain ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Di JOHOR, majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa kesyukuran anjuran UMNO Johor Bahru diadakan di pekarangan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru, Larkin.
Sambutan, yang dihadiri kira-kira 500 pengunjung itu, turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional zapin, tarian naga, deklamasi sajak dan pertunjukan seni mempertahankan diri sebelum laungan merdeka kedengaran tepat jam 12 malam.
Di SARAWAK, Ambang Merdeka disambut meriah dengan pelbagai acara di Bahagian Betong, kira-kira 250 kilometer, dari bandaraya Kuching.
Acara di pekarangan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan itu dimulakan dengan persembahan konsert Ambang Merdeka pada jam 8 malam dengan menampilkan acara hiburan seperti nyanyian artis popular tempatan, tarian tradisional dan kontemporari oleh Majlis Seni Sarawak.
Kira-kira 2,000 pengunjung pada majlis itu turut disajikan dengan pertunjukan bunga api selepas konsert selesai pada jam 10.30 malam.
Hari Kebangsaan 2022 bertema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut esok pagi di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 orang selepas dua tahun negara tidak mengadakan sambutan berkenaan secara besar-besaran berikutan penularan COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial