AM

Bekas Presiden MIC Samy Vellu meninggal dunia

15/09/2022 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi. 

Mendiang berusia 86 tahun.

Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam ketika dihubungi Bernama.

“Saya menerima panggilan pagi tadi memaklumkan beliau (Samy Vellu) meninggal dunia ketika tidur,” katanya.

Subramaniam berkata upacara pengebumian akan dimaklumkan keluarga mendiang kelak.

Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Samy Vellu Datuk E. Sivabalan berkata orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian di rumah mendiang beralamat di No.19, Lengkongan Vethavanam, Batu 3 1/2, Jalan Ipoh, selepas 2 petang hari ini.

Sivabalan dalam satu kenyataan ringkas bagi pihak keluarga berkata mayat mendiang Samy Vellu akan dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Cheras esok.

“Keranda akan dibawa meninggalkan kediaman pada pukul 3 petang esok dan dijangka tiba di krematorium pada pukul 4 petang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan