EKONOMI

ADB rancang sedia bantuan US$14 bln tangani krisis makanan yang semakin buruk di Asia Pasifik

27/09/2022 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) merancang untuk menyediakan sekurang-kurangnya U$14 bilion antara 2022 dan 2025 dalam usaha mengurangkan krisis makanan yang semakin buruk di Asia dan Pasifik.

Presiden Masatsugu Asakawa berkata hampir 1.1 bilion orang kekurangan diet sihat berikutan kemiskinan dan harga makanan yang telah melambung ke tahap rekod tinggi tahun ini.

Bercakap pada sidang media sempena mesyuarat tahunan ke-55 ADB, beliau berkata bantuan di bawah program itu akan diperoleh daripada seluruh operasi sektor kerajaan dan swasta ADB.

ADB juga berusaha untuk memanfaatkan tambahan sebanyak U$5 bilion dalam pembiayaan bersama sektor swasta untuk keselamatan makanan.

“Dalam operasi berdaulat kami, kami menggunakan semula dana daripada projek-projek terpilih dan mengukuhkan sokongan kitaran balas di beberapa negara dengan jumlah kira-kira US$1 bilion.

"Kami juga mempunyai sekurang-kurangnya U$1.5 bilion dalam perancangan projek kami yang berkaitan dengan pertanian, sumber asli dan pembangunan luar bandar," kata Asakawa.

Bagi sektor swasta, ADB berhasrat untuk menyokong pembiayaan perdagangan dan rantaian bekalan, menyediakan pembiayaan kepada perniagaan tani dan petani yang mana pemberian pinjamannya kepada institusi kewangan akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor makanan dan pertanian.

Sokongan sektor swasta daripada sumber ADB dijangka mencecah U$800 juta pada 2022.

Antara tahun 2023 dan 2025, ADB mempunyai program melibatkan sehingga U$10.7 bilion dalam komitmen tambahan dan akan mengguna pakai tiga strategi untuk membina sistem makanan yang lebih kukuh, mampan dan saksama.

Asakawa menambah pembiayaan untuk program sokongan akan disalurkan melalui projek sedia ada dan baharu dalam sektor-sektor termasuk perladangan, pengeluaran dan pengedaran makanan, perlindungan sosial, pengairan dan pengurusan sumber air, serta projek yang memanfaatkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Asia dan Pasifik terdedah kepada kejutan makanan kerana beberapa negaranya bergantung kepada bahan ruji dan baja yang diimport. Malah sebelum pencerobohan Ukraine, makanan berkhasiat tidak mampu dimiliki oleh sebahagian besar penduduk di banyak negara anggota berpendapatan rendah ADB,” katanya.

ADB turut meningkatkan pelaburan mitigasi iklim dan penyesuaian iklim serta mempromosikan inisiatif transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran pertanian dan rantaian nilai termasuk perikanan dan ternakan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan