EKONOMI

Stok modal bersih Malaysia naik kepada RM3.28 trilion pada 2021

06/10/2022 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Stok Modal Bersih (SMB), yang mewakili kekayaan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak RM57 bilion pada 2021, mencatatkan nilai RM3.28 trilion berbanding RM3.22 trilion pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam laporan Perangkaan Stok Modal 2021, katanya pertumbuhan SMB disokong oleh sektor perkhidmatan sebanyak 68.2 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi dengan nilai RM2.24 trilion, diikuti oleh sektor perlombongan dan kuari yang menyumbang 17.0 peratus dan sektor pembuatan sebanyak 11.7 peratus.

SMB untuk sektor perkhidmatan disokong oleh aktiviti kewangan, insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan dengan sumbangan sebanyak 31.7 peratus; pengangkutan & penyimpanan serta maklumat & komunikasi dengan 19.8 peratus; perkhidmatan lain yang terdiri daripada perkhidmatan kerajaan, pendidikan swasta, kesihatan swasta & perkhidmatan swasta lain dengan 31.3 peratus.

SMB untuk sektor pembuatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh petroleum, kimia, getah dan produk plastik dengan sumbangan sebanyak 36.1 peratus; produk elektrik, elektronik dan optikal menyumbang 33.3 peratus manakala penyumbang ketiga terbesar ialah makanan, minuman dan produk tembakau dengan 10.5 peratus.

“Dari segi jenis aset, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada SMB sebanyak 80.7 peratus dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus, jentera & peralatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 11.0 peratus dan aset lain menyumbang 8.3 peratus daripada jumlah aset,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan