EKONOMI

Laporan: Bajet 2023 peruntuk RM372.3 bilion bagi beri sokongan kukuh untuk pertumbuhan ekonomi

07/10/2022 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan terus memberikan sokongan kukuh untuk pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Bajet 2023, menurut Kementerian Kewangan.

Daripada jumlah ini, RM272.3 bilion atau 73.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM95 bilion atau 25.5 paratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE). 

Baki RM5 bilion adalah untuk pembayaran tertunggak bagi komitmen KWC-19 yanq dibuat pada 2022 sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8(1), Akta 830.

Pada 2022, anggaran jumlah perbelanjaan telah disemak semula kepada RM385.3 bilion, dengan peningkatan dalam perbelanjaan mengurus (OE) kepada RM284.7 bilion dan Dana COVID-19 kepada RM28.8 bilion manakala perbelanjaan pembangunan dikurangkan kepada RM71. 8 bilion.

Ia (Belanjawan 2022) pada mulanya dibentangkan dengan peruntukan RM332.1 bilion, dirumus berdasarkan prospek ekonomi yang bertambah baik serta normalisasi perniagaan dan aktiviti sosial.

“Dari segi peruntukan mengikut sektor, sebanyak 37.2 peratus diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial diikuti sektor ekonomi (19.5 peratus), keselamatan (9.9 peratus) dan pentadbiran am (5.5 peratus).

“Baki belanjawan sebanyak 27.9 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan dan bayaran pindahan. Tiga penerima utama Bajet 2023 ialah Kementerian Kewangan (RM72.2 bilion), Kementerian Pendidikan (RM55.6 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM36.1 bilion) yang merangkumi 44 peratus daripada jumlah perbelanjaan,” katanya dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023.

Peruntukan OE dianggarkan sebanyak RM272.3 bilion atau 15 peratus daripada KDNK pada 2023.

Jumlah tersebut berkurangan 4.3 peratus berikutan peruntukan lebih rendah untuk subsidi dan bantuan sosial disebabkan oleh jangkaan penurunan harga komoditi serta pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar secara beransur-ansur. 

Bagaimanapun, peruntukan lebih tinggi disediakan untuk emolumen, bayaran persaraan, DSC dan pemberian kepada badan berkanun.

Emolumen penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 33.3 peratus daripada OE. 

Komponen ini dianggarkan meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM90.8 bilion terutamanya disebabkan oleh pemberian kenaikan gaji tahunan khas untuk penjawat awam dan penyerapan pegawai kontrak ke jawatan tetap terutamanya dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Sementara itu, bayaran persaraan dianggarkan meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM29.1 bilion yang merangkumi 10.7 peratus daripada jumlah OE.

Sebanyak RM21.9 bilion atau 75.3 peratus daripada bayaran persaraan merupakan bayaran pencen kepada lebih 958,700 pesara dan penerima manfaat persaraan manakala selebihnya adalah bayaran untuk gratuiti dan gantian cuti rehat terkumpul. Liabiliti pencen dijangka terus meningkat memandangkan Malaysia kini merupakan negara menua berdasarkan definisi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selari dengan keperluan pembiayaan lebih tinggi untuk DE dan KWC-19, DSC dianggarkan berkembang sebanyak tujuh kepada RM46.1 bilion. 

Daripada jumlah tersebut, 98.4 peratus diperuntukkan untuk pembayaran kupon bagi hutang dalam negeri terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) manakala baki adalah untuk pinjaman luar pesisir. 

Nisbah DSC kepada hasil dianggarkan pada 16.9 peratus berbanding 15 peratus nilai ambang berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.

Perkhidmatan dan bekalan yang merangkumi 11.8 peratus daripada OE dijangka menyusut sebanyak 3.8 peratus kepada RM32 bilion, disebabkan inisiatif kerajaan menyerap kakitangan kontrak ke dalam perkhidmatan mengakibatkan peralihan peruntukan daripada komponen perkhidmatan dan bekalan kepada emolumen. 

Kementerian Kesihatan akan memperoleh peruntukan terbesar bagi perkhidmatan dan bekalan (35 peratus) terutamanya untuk perolehan bekalan perubatan, perkhidmatan profesional serta pembaikan dan penyenggaraan.

Subsidi dan bantuan sosial dijangka mencecah RM42 bilion terutamanya bagi subsidi bahan api dan pertanian; bantuan tunai dan kebajikan; pampasan tol serta bantuan berkaitan pendidikan. 

Subsidi bahan api dianggarkan berkurangan dengan jangkaan harga minyak mentah global lebih rendah pada 2023 dengan purata US$90 setong serta sejajar dengan usaha peralihan ke arah subsidi bersasar secara beransur-ansur bagi memastikan kecekapan ekonomi dan pengagihan sumber yang lebih saksama.

 Sementara itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan BKM bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.

Peruntukan pemberian kepada badan berkanun dijangka meningkat 12.1 peratus kepada RM15.1 bilion.

DE dijangka meningkat berikutan negara kini memasuki tahun ketiga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

Oleh itu, sejumlah RM95 bilion akan diperuntukkan pada 2023 terutamanya bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca COVID-19.

Peruntukan akan disalurkan kepada program dan projek yang mempunyai impak sosioekonomi yang tinggi dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kerajaan juga akan terus menyediakan peruntukan untuk memenuhi komitmen PPP/ PFI dan obligasi kewangan terutamanya bagi menebus bon 1MDB berjumlah US$3 bilion yang akan matang pada Mac 2023. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan