AM

KERAJAAN PERUNTUK LEBIH RM100 JUTA BANTU PACU INDUSTRI KREATIF TEMPATAN

07/10/2022 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM100 juta kepada industri kreatif tempatan pada tahun depan menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) dan Dana Kandungan Digital bagi memacu industri berkenaan. 

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat seperti 'Sarjan Hassan’, 'Leftenan Adnan’, Óla Bola' dan 'Mat Kilau'.

"Kejayaan 'Mat Kilau’ dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai DEKAN bagi memacu industri kreatif tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif, Tengku Zafrul berkata sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diberi potongan cukai.  

"Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran," katanya. 

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapuk dan ditelan zaman.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan tiga inisiatif bagi menggalakkan penghasilan, pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan pada tahun depan. 

Inisiatif pertama ialah mempergiat usaha pendigitalan dan automasi antaranya melalui galakan aktiviti e-dagang di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tengku Zafrul berkata sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi memperkasa usahawan francais di bawah program pembangunan kapasiti vendor 2.0 serta geran penyelidikan dan pengkomersialan vendor 2.0.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM10 juta bagi menggalakkan pembelian produk buatan tempatan melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan