KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Inisiatif pas bulanan My50 dan pemberian diskaun 50 peratus di bawah program MyWIRA selari dengan hala tuju agenda pengangkutan mesra rakyat untuk memberi kemudahan serta memartabatkan pengangkutan awam.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan adalah bukti kerajaan prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Prasarana juga menyokong penuh inisiatif memberi diskaun bagi program MyWIRA kepada pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia dan kad pesara Polis Diraja Malaysia ke atas penggunaan pengangkutan awam di bawah kendaliannya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan Prasarana selaku pengendali pengangkutan awam mengalu-alukan pengumuman belanjawan yang dibentangkan dan menyokong penuh Bajet 2023.
Petang tadi, dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif pas bulanan My50 akan diteruskan pada tahun depan yang memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna dengan subsidi sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Inisiatif My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial