Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini selesai dengan 172 calon disahkan layak bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuka secara rasmi tempoh berkempen menjelang hari pengundian pada 11 Julai depan.
Proses penamaan itu turut menyaksikan penyertaan sulung Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dalam sejarah pilihan raya negara menerusi pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Endau.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di kesemua pusat penamaan calon (PPC) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi dan tempoh bantahan selesai.
Seawal 7 pagi, suasana di PPC seluruh negeri mula meriah dengan laungan slogan, kibaran bendera parti dan sorakan penyokong yang mengiringi ketibaan calon bersama pimpinan tertinggi parti masing-masing, manakala cuaca baik sepanjang pagi turut melancarkan perjalanan proses penamaan calon.
Antara pemimpin parti yang mengiringi calon masing-masing ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) DUN Machap yang juga Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.
Di DUN Permas, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai perarakan ratusan penyokong Pakatan Harapan (PH) mengiringi Sharon Teo Siew Hui ke PPC di Dewan Muafakat Taman Mawar, dengan laungan “Johor Undi PH” bergema sepanjang perarakan yang bermula kira-kira 8.15 pagi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil tiba di PPC di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat pada 9.05 pagi bagi mengiringi calon PH DUN Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula mengiringi calon PH bagi DUN Senggarang yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar di pusat penamaan calon di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat.
Selain itu, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengiringi calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yang merupakan bekas Menteri Pendidikan.
Di Kulai, Pengerusi DAP Johor yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching tiba di PPC Dewan Raya Putra, Bandar Putra pada 8.26 pagi bagi mengiringi calon PH DUN Bukit Permai Mohamad Shafwan Ani.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tiba di PPC Dewan Kompleks Sukan Pagoh pada 8.45 pagi untuk mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Bersatu dan Pengerusi PN Johor.
Dengan senarai calon dimuktamadkan, tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini turut menyaksikan perhatian terarah kepada beberapa kerusi tumpuan, antaranya DUN Machap yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Onn Hafiz mewakili BN dan Nur Hafiz Roslan daripada PH.
Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan semula bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang bertanding mewakili BN di DUN Pasir Raja dalam saingan tiga penjuru berdepan Mohd Fakharuddin Moslim (PH) dan Yuhanita Yunan (PN).
Selain itu, tumpuan turut terarah kepada beberapa DUN seperti Senggarang, Bukit Kepong, Tiram, Bukit Permai, Puteri Wangsa, Semerah, Larkin dan Permas.
Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau kekecohan dengan polis terus memantau perjalanan kempen bagi memastikan ia berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
Sebanyak 4,832 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan serta kelancaran lalu lintas sepanjang proses penamaan calon, termasuk menguruskan penutupan dan lencongan di 19 jalan utama berhampiran PPC di seluruh negeri.
Pada PRN kali ini, BN dan PH bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, manakala PN mempertaruhkan calon daripada Bersatu (16), PAS (11), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) (satu).
Persaingan turut disertai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding di empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu kerusi serta Parti Bersama Malaysia (Bersama) di 15 kerusi.
PRN Johor kali ini turut mencatat sejarah apabila parti ASLI buat pertama kali menyertai pilihan raya negara dengan mempertaruhkan calon, Jati Awang di DUN Endau dalam saingan empat penjuru berdepan PN, BN dan PH.
Sebelum DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi DUN, diikuti PH (12), PN (tiga) dan MUDA (satu).
Untuk berita terkini mengenai PRN Johor Ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial