PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Pemakanan akan melaksanakan sebuah projek rintis pelabelan kalori makanan di restoran dan kafeteria pada awal tahun depan, bagi menilai kebolehlaksanaan dasar pelabelan menu di Malaysia.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di restoran di Putrajaya selain kafeteria KKM dan kementerian lain serta rangkaian restoran makanan segera.
“Sekarang ini kita (KKM) dalam peringkat perancangan untuk mengenal pasti kafeteria dan restoran yang ingin ambil bahagian dalam projek rintis ini yang bakal dilaksanakan sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun.
“KKM akan sediakan maklumat (kalori) tersebut supaya mereka (pengusaha) tidak perlu membelanjakan duit untuk konsultan bagi melabelkan menu makanan mereka. Cuma kita minta kerjasama daripada pihak pengurusan restoran supaya apabila sudah dibuat maklumat kalori itu, ia dapat diletakkan pada menu di kedai makanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan pelancaran modul program pengurusan berat badan Trim&Fit bagi pelaksanaan di semua kementerian dan jabatan di KKM di sini hari ini.
Ditanya sama ada projek rintis itu akan menjurus kepada dasar pelabelan menu pada masa akan datang, Khairy berkata projek tersebut dibuat bagi melihat perubahan tingkah laku masyarakat.
“Selepas itu, KKM secara berdasarkan bukti akan tengok dari segi data, dari segi kejayaan projek rintis sebelum kita buat keputusan berkenaan dasar pelabelan wajib kerana ada negara yang sudah wajibkan dan kita akan lihat kesannya,” katanya menambah projek rintis itu akan diperluas di seluruh negara sekiranya berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata penentuan kalori di restoran akan dilakukan oleh pakar di Bahagian Pemakanan dengan melihat ramuan untuk menghasilkan sajian itu sebelum analisis dibuat.
Sementara itu, program pengurusan berat badan Trim&Fit merupakan satu intervensi yang dijalankan mengikut persekitaran tempat kerja bagi memberi peluang kepada penjawat awam berlebihan berat badan dan obesiti menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mencatatkan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah 19.7 peratus manakala 30.4 peratus mengalami masalah lebihan berat badan.
Ia membawa maksud bahawa satu daripada setiap dua individu dewasa Malaysia (50.1 peratus) berlebihan berat badan dan obes dan daripada jumlah tersebut, masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di agensi dan jabatan kerajaan mencapai 41.4 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial