AM

Imej, peranan Rela boleh dipertingkat seiring dengan agensi keselamatan lain - Hamzah

12/10/2022 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) - - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata imej Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) boleh dipertingkat seiring dengan pasukan keselamatan yang lain.

Beliau berkata latihan selain pengetahuan mengenai undang-undang akan turut diberikan kepada anggota Rela dalam usaha mengangkat peranan jabatan itu.

“Saya sebagai Menteri fikir mahu naikkan imej Rela bukan setakat jaga trafik dan kenduri kahwin tetapi juga jaga keselamatan negara... Saya sudah bawa kepada mesyuarat Kabinet dan setuju tempatkan anggota Rela di sempadan seluruh negara. 

“Apabila bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am, kita peroleh anggota Rela yang ada semangat kerjasama. Sekarang ini ada 1,000 anggota Rela bertugas di sempadan dan kita berikan latihan, " katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Perhubungan Rela Kawasan dan Ketua Platun Rela kepada 113 anggota di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta di sini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Halim  Abdul Rahman, Ketua Pengarah Rela Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Yahya pula berkata sehingga kini, terdapat sejumlah 150,000 anggota Rela yang berdaftar dan lebih 45,000 orang terlibat dalam penugasan tetap di seluruh negara. 

Beliau berkata bagi penugasan dan persediaan menghadapi banjir, lebih 4,300 anggota akan dikerah ke seluruh negara untuk membantu agensi keselamatan lain serta melakukan kawalan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

"Kita sudah bersedia menghulurkan bantuan dalam menghadapi musim banjir ini dan kita lebihkan kepada tenaga manusia bagi memastikan keselamatan di PPS terjamin sekali gus memudahkan penyelarasan anggota," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan