CHUKAI, 21 Okt (Bernama) -- Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke rumah pesakit terlantar, Abas Mohamad, 44, di Bandar Seri Bandi di sini disambut dengan rasa gembira dan syukur oleh ahli keluarganya.
Malah, kehadiran pemimpin nombor satu negara ke teratak mereka yang terletak di pelosok kampung itu sememangnya tidak disangka-sangka dan dianggap bagaikan mimpi di siang hari.
Menurut isteri pesakit, Hasiah Ismail, 42, dia seperti tidak percaya apabila melihat Perdana Menteri berdiri di depan rumahnya kira-kira 11.40 pagi tadi.
Bagaimanapun, dia amat bersyukur dan terharu kerana penderitaan suaminya yang hilang upaya selepas jatuh dari bumbung rumah pada 14 Jun tahun lepas akhirnya mendapat perhatian serta pembelaan daripada pemimpin negara.
"Saya memang terharu sungguh dengan kunjungan Perdana Menteri ke teratak kami yang tak seberapa. Walaupun hanya sekejap (singgah), beliau sempat memberikan kata-kata perangsang untuk saya dan anak-anak terus tabah," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Pada masa sama, Hasiah turut melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada Ismail Sabri kerana berjanji untuk menghantar doktor bagi rawatan suaminya di rumah.
Katanya, suaminya sudah lebih lima bulan tidak menjalani rawatan fisioterapi di hospital kerana pelbagai kekangan termasuk faktor kewangan dan pengangkutan.
"Sebelum ini adik saya yang tolong hantarkan ke hospital sekali setiap bulan kerana saya tidak ada kenderaan dan tidak tahu memandu.
"Tetapi kebelakangan ini, suami sering bertindak agresif dan meronta-ronta menendang cermin apabila berada di dalam kenderaan, jadi tidak ada yang berani ambil risiko untuk hantar ke hospital lagi," katanya yang menjalankan perniagaan kecil di sebelah rumahnya.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat Abas dan keluarganya melalui program Ziarah Kasih.
Antara sumbangan yang disampaikan ialah wang bantuan bulanan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), lampin pakai buang, susu dan bakul makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial