EKONOMI

Usaha Diselaras, Perkongsian Ilmu Negara Anggota OIC Penting Dalam Transformasi Digital 

05/11/2024 12:11 AM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

ISTANBUL, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia percaya usaha diselaraskan dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah penting untuk memacu gelombang transformasi digital yang akan datang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurutnya, dengan bekerjasama, negara anggota boleh menangani cabaran bersama, daripada halangan pengawalseliaan sehingga kepada risiko keselamatan siber, dan memanfaatkan potensi menyeluruh sistem pembayaran digital.

“Penekanan Malaysia dalam memperluas penerimagunaan pembayaran digital turut penting dalam memacu rangkuman kewangan terutama bagi masyarakat luar bandar,” katanya pada sesi perkongsian pendapat bertemakan ‘Transformasi Digital Sistem Pembayaran di Negara Anggota OIC’ di sini pada Isnin.

Sesi perkongsian itu diadakan bersempena Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) OIC di Turkiye.

Fahmi berkata perjalanan Malaysia ke arah transformasi digital telah dibentuk menerusi pendekatan kolaboratif melibatkan kerajaan, industri kewangan dan pihak berkepentingan antarabangsa.

Menurutnya Bank Negara Malaysia berperanan utama sebagai pengawal selia, fasilitator dan penyokong bagi memastikan rangka kerja kawal selia yang kekal sejajar dengan kemajuan teknologi.

“Langkah perkongsian ini telah membolehkan kami membina landskap pembayaran yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata Malaysia telah memberi tumpuan untuk membina ekosistem pembayaran yang berdaya tahan, inklusif dan cekap, berpandukan empat strategi utama.

“Strategi pertama adalah ‘Infrastruktur Digital yang Sentiasa Relevan. Kami sedar bahawa infrastruktur yang teguh adalah tunjang kepada mana-mana ekonomi digital yang berkembang maju,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia mengutamakan pembangunan infrastruktur pembayaran yang mantap dalam meningkatkan daya tahan, meneroka penyelesaian inovatif, dan mengurangkan potensi gangguan dan risiko di samping memastikan ia dapat diuruskan dari segi skala dan boleh disesuaikan dengan teknologi baharu.

Menurutnya strategi kedua adalah “Memupuk Landskap Perkhidmatan Kewangan Digital yang Tangkas’ dan Malaysia telah memanfaatkan inovasi digital dalam sektor perbankan, yang diperlihatkan menerusi pengenalan bank digital dan penyelesaian e-wang.

Fahmi berkata strategi ketiga adalah “Memperteguh Keselamatan Siber” manakala “Menyokong Penerimagunaan Teknologi bagi Pengawalan dan Penyeliaan” sebagai strategi keempat.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran Pelan Tindakan Sektor Kewangan iaitu lebih 15 peratus pertumbuhan tahunan terkompaun bagi transaksi e-pembayaran per kapita antara 2022 dan 2026.

“Ini berikutan pertumbuhan 20 peratus kepada 343 transaksi e-pembayaran per kapita pada 2023 berbanding 285 pada 2022, bersamaan dengan satu transaksi e-pembayaran dalam sehari oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang giat berusaha untuk meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan, mengurangkan kos transaksi, meningkatkan kepantasan dan menambah baik ketelusan.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek dan Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu Ahmed Ali Al Sayegh dan membincangkan mengenai potensi kerjasama dan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi digital.

Fahmi tiba di Istanbul pada 3 November bagi lawatan kerja sehingga 5 November serta bagi menghadiri COMCEC.

Persidangan ekonomi OIC yang sedang berlangsung itu mengetengahkan cabaran dan saranan dasar mengenai transformasi digital sistem pembayaran dalam kalangan negara anggota.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan