AM

PM ucap tahniah pelajar SMKA Kuala Selangor gondol pingat emas

30/10/2022 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor yang berjaya meraih pingat emas pada Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman semalam.

Menerusi catatan dalam laman Facebooknya, Perdana Menteri berharap kejayaan pasukan sekolah itu akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan reka cipta sehingga menggapai kejayaan.

"Tahniah kepada ahli-ahli pasukan terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.

"Saya difahamkan pasukan ini telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam IENA 2022 ini. Syabas saya ucapkan," katanya.

Empat pelajar berkenaan yang diiringi dua guru iaitu Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor, turut meraih Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Okt lepas. 

IENA ialah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lepas bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan