POLITIK

PRU15: Wan Azizah menang kerusi Bandar Tun Razak

20/11/2022 04:18 AM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 undi selepas menewaskan dua pencabarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen berkenaan Mohamad Hamim berkata Wan Azizah menewaskan pesaingnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua MCA Bandar Tun Razak Datuk Chew Yin Keen (Barisan Nasional).

Mohamad mengumumkan keputusan itu di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL (IDB) di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiga calon itu tidak hadir di pusat penjumlahan undi.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, memperoleh 43,476 undi manakala Kamarudin 33,659 undi dan Chew 15,886 undi.

Seramai 119,185 pemilih layak mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 78.74 peratus manakala undi ditolak sebanyak 572.

Pada PRU14, Wan Azizah yang memegang jawatan timbalan perdana menteri pada 2018 hingga 2020, memenangi kerusi Parlimen Pandan dalam pertembungan lima penjuru dengan memperoleh 64,733 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan