Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 11 Jun (Bernama) -- Singapura bersedia memberikan bantuan tambahan kepada isi rumah dan perniagaan jika perlu sambil memantau rapat perkembangan di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri (TPM) Gan Kim Yong.
Gan berkata kesan konflik itu terhadap Singapura tidak seteruk yang dijangkakan, dengan inflasi teras susut kepada 1.4 peratus pada April daripada 1.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Keadaan masih tidak menentu. Tekanan kos import dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang apabila kos tenaga dan input lain yang lebih tinggi disalurkan menerusi rantaian bekalan global.
“Inflasi mungkin meningkat dalam bulan-bulan mendatang,” katanya semasa pelancaran Skim Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) 2026 bagi Jun pada Khamis.
Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Industri serta Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura, berkata masih tiada petunjuk mengenai tempoh konflik itu akan berlanjutan atau sama ada ia akan merebak lebih jauh, faktor yang terus memberi tekanan kepada pasaran global.
“Terdapat juga risiko lain terhadap ekonomi global, daripada ketegangan perdagangan hingga kestabilan pasaran kewangan,” katanya sambil menambah bahawa bulan-bulan mendatang dijangka mencabar.
Di sebalik ketidaktentuan itu, Gan berkata kerajaan kekal berada pada kedudukan baik untuk menyokong isi rumah dan perniagaan hasil pengurusan fiskal berhemat sejak sekian lama.
Beliau berkata pendekatan berdisiplin kerajaan membolehkannya membantu rakyat Singapura mengharungi tempoh sukar, membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan serta terus melabur dalam rakyat dan masa depan negara.
Kira-kira 1.38 juta isi rumah rakyat Singapura dijangka mendapat manfaat daripada pemberian terbaharu CDC berupa baucar bernilai S$500 (S$1=RM3.16) bermula Khamis yang sah digunakan hingga 31 Dis 2027.
Dalam tiga pemberian terdahulu, isi rumah rakyat Singapura menerima baucar bernilai S$300 pada Januari 2025, S$500 pada Mei 2025 dan S$300 pada Januari 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial